Kerosakan misteri di tapak nuklear Iran

Kompleks nuklear Natanz di Iran yang terbakar minggu lalu.
Kompleks nuklear Natanz di Iran yang terbakar minggu lalu.
A
A
A

TEHERAN - Insiden misteri pada awal pagi Khamis lalu yang merosakkan bangunan di kompleks nuklear Natanz, Iran mencetuskan spekulasi mengenai puncanya sama ada satu kemalangan atau sabotaj Israel.

Kejadian tersebut membabitkan dua letupan di Teheran, termasuk satu berhampiran lokasi tentera.

Pegawai keselamatan berkata, letupan itu satu kemalangan namun ramai penduduk Iran mengesyaki kejadian merupakan operasi tersembunyi Israel.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) menuduh musuh mereka Iran berusaha membina bom atom, namun Republik Islam itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Pertubuhan Tenaga Atom Iran melaporkan bahawa kemalangan telah berlaku dan merosakkan gudang yang sedang dibina di tapak Natanz kira-kira 250 kilometer (km) di selatan Teheran.

Menurut jurucakap agensi itu, Behrouz Kamalvandi, ia bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau pencemaran radioaktif.

Kelmarin, Kamalvandi memberitahu agensi berita negara, IRNA bahawa kemalangan tersebut telah menyebabkan kerugian yang besar tetapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu pada Jumaat lalu, Majlis Keselamatan Iran mendakwa bahawa penyebab kemalangan telah ditentukan dengan tepat tetapi enggan memberikan perincian atas alasan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

IRNA turut menerbitkan sebuah kenyataan yang memberi amaran kepada musuhnya terutama Israel terhadap tindakan bermusuhan.

Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz bagaimanapun tidak mengaku bertanggungjawab terhadap peristiwa tersebut.

"Iran mahu menghasilkan senjata nuklear, kami tidak boleh membiarkannya berlaku.

"Tetapi tidak semua perkara yang berlaku di Iran mempunyai kaitan dengan kami," katanya. - Agensi