Makanan kedai, makan di rumah

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

COVID-19 telah memunculkan pelbagai kebiasaan baharu. Yang paling ketara ialah penjarakkan sosial di tempat awam, pemakaian pelitup hidung, suhu tubuh diambil sebelum memasuki mana-mana premis tumpuan awam dan kekerapan membasuh tangan.

Betapa pun apabila di rumah, kebiasaan baharu seperti meletak tangan di dada mengganti bersalaman, sudah berkurangan. Malah, kita sudah berani menunjukkan rasa kasih kepada saudara dengan berpelukan. Begitu juga, penjarakkan sosial di rumah sudah tidak diamalkan. Menonton TV untuk berita terkini sebagai rutin wajib harian dari pak menteri sudah mula dialpakan.

Cuma, muncul pula kebiasaan baharu sampingan yang menjadi budaya kehidupan iaitu memesan makanan secara atas talian dengan menggunakan perkhidmatan home delivery. Jika dahulu, hon motorsikal di depan rumah itu petanda ada posmen menghantar surat, kini bunyi hon motorsikal mahupun kereta itu petanda ada makanan yang dipesan dah tiba.

Saya teringat sewaktu kecil dahulu di kampung, para penjaja makanan seperti aiskrim, kacang putih, roti kaya, sate, mi dan rojak kerap bersimpang-siur membunyikan loceng basikal mereka untuk menarik pelanggan. Terdapat juga makcik-makcik yang berjalan kaki menjaja kuih muih Melayu khususnya goreng pisang. Begitulah bentuk home delivery pada waktu dahulu. Dengan mendengar sahaja, saya boleh membezakan mana satu loceng penjaja aiskrim atau mana satu loceng basikal penjaja kacang putih sebelum berlari keluar untuk membeli.

Beralih kepada home delivery berbentuk moden, ia bermula apabila restoran makanan segera menyediakan perkhidmatan menghantar pesanan kepada para pelanggan. Syarikat makanan segera seperti piza, burger dan ayam goreng telah memulakan kebiasaan ini. Hanya beberapa tahun dahulu, penghantaran piza ke rumah dilihat sebagai pelik oleh jiran-jiran. Timbul pertanyaan, mengapa tidak makan sahaja di restoran?

Sejarah penghantaran makanan ke rumah sebenarnya bermula pada tahun 1768 di Korea untuk golongan bangsawan. Di India, penghantaran makanan dikirim menggunakan basikal dan keretapi; disediakan dalam mangkuk tingkat. Kesibukan manusia mengembangkan perkhidmatan ini menjadi suatu industri. Salah sebuah syarikat penghantaran makanan yang terkenal iaitu Foodpanda mula beroperasi di Asia Tenggara pada tahun 2012. Syarikat yang dipunyai oleh warga Jerman ini terus berkembang hingga mempunyai perkhidmatan dari lebih 27,000 buah restoran dan meliputi 193 buah negara pada hari ini.

Covid-19 telah menjadikan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah sebagai suatu kebiasaan. Anak-anak remaja memesan apa sahaja makanan dari Starbucks, Tealive, Chatime dan juga dari restoran makanan segera dan restoran kesukaan mereka. Harganya tentulah lebih mahal daripada membelinya di restoran. Ada ketikanya, segelas minuman berharga RM5 dikenakan caj penghantaran RM5 juga. Kita tahu tetapi tidak ambil kisah apabila membayar lebih untuk sesuatu yang makin sedikit!

Perkhidmatan home delivery ini semakin menjarakkan kekerapan makan semeja bersama keluarga. Jika dahulu, seluruh keluarga menghadap hidangan yang serupa. Apa yang emak masak, itulah yang dimakan. Lama kelamaan, si anak mula memilih makanan yang terhidang. Ada yang tak makan sayur, tak makan pedas, tak makan ulam. Kemudian anak-anak minta emak membuat burger, kentang goreng atau lasagna. Akhirnya, anak-anak lebih suka memesan makanan secara online dan ibu dan ayah pula yang tumpang semangkuk.

Artikel Berkaitan:

Pada asalnya, kita ingin tinggal di sebuah kawasan perumahan yang berdekatan dengan taman rekreasi, pasaraya dan jabatan kerajaan agar semuanya boleh dikunjungi dengan berjalan kaki. Kini apabila semua itu ada berhampiran, kita tidak mahu keluar rumah meskipun untuk makan-makan.

Pengalaman makan di restoran itu juga adalah satu bentuk kehidupan bersosial. Kita berbual sebelum makanan sampai. Kita toleh ke kiri dan ke kanan melihat manusia lain; mendengar bunyi dan suara sebagai petanda yang kita bernafas. Kini, dengan perkhidmatan home delivery, kita keluar rumah apabila mendengar hon kenderaan, menerima makanan seraya angguk-angguk dan kemudian menonong masuk semula ke dalam rumah.

Akhirnya makanan di dalam rumah semakin banyak yang terbuang apabila luput tarikh. Kita makan menu sendiri yang berbeza dari anggota keluarga yang lain. Kita makan sendirian meskipun anggota keluarga ada di ruang yang sama. Kita tenggelam dalam dunia maya yang jadi tembok ciptaan kita sendiri!

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian