Dacing, BN dan UMNO

No Image Caption
A
A
A

MENJELANG kemerdekaan Tanah Melayu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menemui Syeikh Abdullah Fahim, seorang ulama dari Kepala Batas, Pulau Pinang bagi mendapatkan pandangan tentang tarikh terbaik untuk dipilih sebagai tarikh bagi Tanah Melayu mengisytiharkan kemerdekaannya.

Syeikh Abdullah Fahim ialah seorang tokoh ulama terkenal dan pakar dalam ilmu falak. Mendapat pendidikan dari Makkah, beliau juga merupakan Datuk kepada Presiden UMNO keenam dan Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut catatan sejarah, Syeikh Abdullah Fahim menyarankan agar 31 Ogos 1957 dipilih sebagai tarikh bagi Tanah Melayu mengisytiharkan kemerdekaannya. Ini berdasarkan kiraan masa yang bermula dari 22 Ogos 1511 iaitu tarikh kejatuhan Melaka di tangan Portugis sehingga 31 Ogos 1957 adalah selama 446 tahun. 446 tahun itu dibahagikan dua maka jadilah 223 tahun yang disebut sebagai imbangan tahun yang bermakna keadilan, keamanan dan kemakmuran.

Pengiraan itu juga bermakna dari kejatuhan sebuah empayar Melaka kepada kebangkitan sebuah negara baharu yang mewarisi legasi dan citra keunggulan Melaka iaitu Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia.

Menjelang Maghrib pada malam 31 Ogos 1957, terdapat dua buruj utama di langit iaitu buruj kapal layar dan buruj dacing. Manakala kedudukan bulan pula berada tepat pada buruj dacing. Barangkali secara kebetulan atau dirancang sebelum dan selepasnya, kapal layar menjadi simbol pertama kepada Parti Perikatan yang dipimpin Tunku. Manakala dacing menjadi simbol kedua kepada Barisan Nasional (BN) semenjak dari era Tun Abdul Razak sehingga ke hari ini.

Sejak ditubuhkan pada 1 Januari 1973, BN dengan simbolnya dacingnya telah berjaya menempuh semua Pilihanraya Umum sehingga tewas pada 2018 serta dari gabungan 14 parti komponen hanya tinggal 3 sahaja parti komponen. Namun takdir Allah menentukan, BN dan simbol dacingnya berjaya memenangi hampir kesemua Pilihanraya Kecil (PRK) sejak 2018.

Fakta

Politik berubah mengikut waktu dan suasana, tetapi sejarah tetap tidak akan dapat memadamkan fakta bahawa BN dan simbolnya dacingnya sangat sinonim dengan politik dan rakyat Malaysia. Begitu juga dengan UMNO, yang sentiasa setia mendepani setiap PRU dan PRK menggunakan simbol dacing sebagai satu perlambangan kepada ikatan kerjasama dan konsep perkongsian kuasa antara kaum dan agama di Malaysia yang terasnya adalah UMNO.

Artikel Berkaitan:

Ironinya, nama BN itu dinamai oleh Presiden Pas, Asri Muda dan UMNO pula hadir dengan cadangan simbol dacingnya. Dalam memoirnya pada 1993, Asri menulis:

‘Cerita bagaimana nama Barisan Nasional muncul bagi menggantikan nama Perikatan begitu menarik sekali. Dalam suatu persidangan Majlis Tertinggi Perikatan, wakil Pas dijemput hadir sama bagi membincangkan perkara khusus untuk menghadapi pilihanraya 1974; maka dalam mesyuarat itulah saya menyarankan agar nama Perikatan ditukarkan kepada nama Barisan Nasional.

Ternyata saranan saya itu mendapat sambutan baik daripada semua anggota komponen. Sebenarnya saranan itu dibuat untuk memberi wajah baru kepada Perikatan itu sendiri. Pada mesyuarat itu jugalah Encik Abdul Ghafar Baba, yang menjadi pengerusi mesyuarat, mengemukakan cadangan, dan dipersetujui menggantikan simbol yang lama kapal layer itu kepada rupa baru iaitu dacing; bentuk rupanya telahpun dilukiskan oleh beliau sendiri. Warna latar belakangnya tetap sama dengan warna yang lama iaitu biru tua’.

Sejarah sentiasa kaya dengan panduan, pedoman dan iktibar kepada kita supaya segala yang dirancang untuk masa hadapan tidak melupai asas, nilai dan citra jati diri yang pernah terbina. Moga ALLAH SWT memberikan yang terbaik untuk UMNO, BN, Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional demi untuk kemakmuran negara dan rakyat seluruhnya.

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia