Sri Ram tolak tuduhan Mohamed Apandi

Gopal Sri Ram - Foto Bernama
Gopal Sri Ram - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pendakwa, Datuk Seri Gopal Sri Ram menolak tuduhan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa beliau (Sri Ram) dihantar oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berjumpa dengan Mohamed Apandi berhubung perbualan antara mereka mengenai penahanan Datuk Seri Najib Tun Razak dua tahun lepas.

Dalam afidavit balas yang difail pada 6 Julai, Sri Ram berkata, beliau menemui Mohamed Apandi dan isteri di kediaman mereka semata-mata atas dasar profesional.

“Semasa perjumpaan di rumah mereka, saya memberikan beberapa nasihat tertentu yang merupakan hak istimewa profesional berkaitan undang-undang. Apandi jelas terganggu dengan serangan oleh 'cybertroopers' yang dibayar oleh yang dituduh, Najib,” katanya.

Sri Ram berkata, dalam perbualan itu, beliau menasihatkan Mohamed Apandi bahawa terdapat bukti yang diketahui umum berhubung Najib dan adalah menjadi tugas Mohamed Apandi untuk menahan dan mendakwa Najib.

"Tidak pernah ada dalam perbualan itu saya sebutkan yang saya dihantar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu berpendapat bahawa Mohamed Apandi 'cuba menggagalkan' perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib dan juga perbicaraan berhubung tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

"Ini semata-mata huraian beliau sendiri berhubung perbualan yang diingati secara tidak tepat oleh Apandi. Ini adalah percubaan olehnya untuk membantu Najib yang sedang berhadapan dengan tuduhan di mahkamah, dengan tujuan untuk ‘menggagalkan’ perbicaraan yang sedang berlangsung," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Apandi Ali dakwa Tun M hantar Gopal Sri Ram pujuk tangkap Najib

Artikel Berkaitan:

Sri Ram turut menafikan beliau menerima arahan daripada mana-mana tokoh politik dan menafikan beliau dilantik oleh ahli politik.

“Saya sedang melaksanakan tugas-tugas pendakwaan atas arahan pendakwa raya, oleh itu dakwaan berat sebelah berkaitan politik terhadap saya, adalah tidak berasas,” katanya.

Afidavit Sri Ram adalah sebagai respons kepada afidavit Mohamed Apandi bagi menyokong permohonan Najib untuk mengenepikan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pindaan laporan audit 1MDB Najib.

Mohamed Apandi Ali dalam afidavitnya mendakwa Sri Ram cuba meyakinkan beliau untuk menahan Najib pada tahun 2018 yang merupakan perdana menteri ketika itu berhubung skandal 1MDB dan mendakwa bahawa Sri Ram memberitahu bahawa bekas perdana menteri Dr Mahathir telah menghantar beliau (Sri Ram) untuk bertemu dengannya (Mohamed Apandi). - Bernama