X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS

Pada jam 6 petang, ringgit kekal pada paras penutup Isnin pada 4.2750/2800 berbanding dolar AS. Foto: 123RF
A
A

RINGGIT ditutup tidak berubah berbanding dolar AS hari ini apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) hari ini.

Pada jam 6 petang, ringgit kekal pada paras penutup Isnin pada 4.2750/2800 berbanding dolar AS.

Pada mesyuarat keempatnya tahun ini, MPC mengurangkan OPR kepada 1.75 peratus, kadar terendah sejak tahun 2004.

Mesyuarat itu memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, pada awalnya ringgit mengukuh atas sokongan kenaikan pasaran bon apabila Sekuriti Kerajaan Malaysia menarik permintaan yang cepat.

Bagaimanapun momentum itu merosot apabila pasaran ekuiti tempatan bergelut susulan sekatan pergerakan di Melbourne selepas kes baharu koronavirus (Covid-19) melonjak di bandar kedua terbesar di Australia itu.

“Jika inflasi kekal rendah BNM mungkin akan melaksanakan satu atau dua lagi penurunan yang dijangka memberi impak kecil kepada mata wang kerana hasil sebenar di Malaysia masih kekal tinggi,” kata Innes dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Indeks harga pengguna Malaysia turun 2.9 peratus tahun ke tahun pada Mei 2020 tidak berubah dari April 2020.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0164/0659 daripada 3.0698/0745 pada Isnin dan mengukuh berbanding yen kepada 3.9679/9729 daripada 3.9745/9803.

Ringgit juga menokok berbanding pound Britain kepada 5.3326/3410 daripada 5.3420/3500 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8188/8257 daripada 4.8273/8347. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!