Rayu kerajaan cari kaedah selesai hutang peneroka

Sulong Jamil Mohamed Shariff
Sulong Jamil Mohamed Shariff
A
A
A

SUNGKAI - Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merayu kepada kerajaan untuk mencari kaedah terbaik menyelesaikan hutang mereka terutama bagi generasi kedua.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, pihaknya mencadangkan agar Felda menggunakan pakai sistem dilaksanakan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menggunakan bayaran tanam semula (ses) getah yang dipotong untuk tujuan bantuan tanaman semula getah.

Menurutnya, ketika ini ses yang dipotong tersebut digunakan untuk tujuan penyelidikan dan bukan untuk tabung bantuan tanam semula kelapa sawit.

"Generasi pertama yang bawa kapak teroka hutan untuk tanam sawit berjaya selesaikan hutang dengan kerajaan sehingga dapat hak milik. Apabila dapat hak milik, mereka berhutang sehingga tempoh matang sawit pun masih belum selesai, sehingga generasi kedua pun masih berhutang dengan Felda.

"Saya merayu kepada Perdana Menteri untuk mengkaji perkara ini supaya ses hasil sawit dapat disimpan dan diberi dana kepada agensi dilantik untuk pekebun kecil menanam semula sawit tanpa perlu berhutang lagi," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Kampus Tun Abdul Razak di sini semalam.

Sulong Jamil berkata, dengan adanya bantuan tanam semula itu, peneroka tidak perlu lagi meminjam Felda untuk menanam semula kelapa sawit.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan usaha-usaha dilakukan kerajaan diyakini mampu mengembalikan kegemilangan Felda seperti sebelum ini.

Katanya, cabaran dihadapi kini berlainan dengan cabaran yang dihadapi Felda seperti 10 tahun lalu memaksa peneroka supaya berani keluar dari zon selesa dan bersedia untuk menyahut cabaran baharu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, projek rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan bakal membuka banyak peluang untuk masyarakat peneroka.

"Felda kini berusaha ke arah melahirkan peneroka yang berdaya saing, inovatif dan progresif. Oleh itu, saya menyeru sahabat peneroka untuk sama-sama berani mencari peluang baru melalui aktiviti pertanian dan ternakan dengan menggunakan teknologi baharu untuk menambah pendapatan.

"Saya percaya dengan bantuan pihak Pengurusan Felda, pelbagai projek baharu akan diperkenalkan di bawah Projek Rangsangan Ekonomi bagi membantu memacu pembangunan sosioekonomi Felda dan masyarakat peneroka pada masa ketidaktentuan ekonomi ini," katanya.

Sulong Jamil berkata, pihaknya berharap agar Perdana Menteri dapat memberi sinar baharu kepada warga peneroka sekaligus mengembalikan kegemilangan Felda.