Musa, Abdul Rahman bantah Salleh sertai semula UMNO

Musa, Salleh dan Abdul Rahman.
Musa, Salleh dan Abdul Rahman.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah didakwa berpecah kepada beberapa kumpulan berpunca daripada permohonan bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk kembali semula kepada parti itu.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dikatakan menghalang Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar menerima permohonan Salleh.

Menurut laporan Borneo Today, Musa dikatakan cuba mengawal kembali UMNO Sabah menyebabkan berlaku perselisihan faham dengan Bung.

Laporan portal itu menyebut, Musa tidak bersetuju dengan tindakan Bung menerima Salleh walaupun Ahli Parlimen Kinabatangan itu merupakan Pengerusi UMNO Sabah.

"UMNO kini berpecah kepada beberapa kumpulan termasuk Abdul Rahman yang turut menyokong Musa mengukuhkan kembali pengaruh beliau, manakala Bung mendapat sokongan pemimpin-pemimpin baharu.

“Musa dengan gandingan Abdul Rahman menentang sekeras-kerasnya Salleh kembali ke dalam UMNO Sabah dan kedua-duanya juga mahu mengawal kembali UMNO daripada Bung,” kata sumber kepada Borneo Today.

Sumber itu berkata, UMNO Sabah telah diberikan autonomi untuk menerima mana-mana ahli, bagaimanapun Bung dikatakan menyerahkan kepada UMNO Pusat untuk membuat keputusan.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, UMNO menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu termasuk pemimpin-pemimpin lama.

Artikel Berkaitan:

Ghazalie berkata, UMNO Bahagian Kota Belud perlu berlapang dada sekiranya Salleh kembali ke dalam parti itu.

Kenyataan Ghazalie itu pasti menyemarakkan kemarahan Musa yang sememangnya mahu kembali untuk membersihkan imejnya selepas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).