Pengguna perlu memahami penyata BPE Tambahan dalam bil Julai

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebagai pelanggan kediaman, anda akan menikmati manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) Tambahan daripada kerajaan yang diberikan untuk meringankan beban pembayaran bil elektrik bagi tempoh tiga bulan, iaitu April, Mei dan Jun 2020.

Jumlah BPE yang diterima pengguna akan dimasukkan sekali gus dan tertera di dalam bil sebenar pada bulan Julai ini.

Bagi Diskaun Rangsangan Ekonomi, kadar diskaun yang dinikmati berdasarkan jumlah penggunaan elektrik bulanan bermula 1 April sehingga 31 Disember 2020.

Untuk BPE Tambahan pula, kesemua 7.66 juta pelanggan kediaman TNB akan menikmati penggunaan elektrik Percuma sehingga RM231 (RM77/bulan) untuk bulan April, Mei dan Jun 2020.

Jadi, jumlah keseluruhan bantuan yang diterima pada bulan April sehingga Julai 2020 adalah merangkumi Diskaun Rangsangan Ekonomi dan BPE Tambahan.

Oleh itu, jumlah yang perlu dibayar pengguna adalah jumlah bil bulan Julai iaitu jumlah sebenar selepas bantuan, namun jika ada lebihan bayaran akan dibawa ke dalam bil bulan seterusnya.

Pada 20 Jun lepas, kerajaan berserta TNB telah mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada 7.66 juta pelanggan domestik.

Ini menerusi pembiayaan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April, Mei serta Jun, 2020 dan bantuan tersebut akan dinyatakan dalam bil sebenar.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sebanyak 601-900 kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus iaitu tambahan lapan peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak dua peratus bermula April hingga September 2020.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai bil boleh dibuat menerusi talian TNB CareLine 1-300-88-5454 atau e-mel tnbcareline@tnb.com.my atau di Kedai Tenaga berhampiran.

Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat melalui laman sesawang di www.tnb.com.my/prihatin.