X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar kemiskinan negara mungkin meningkat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak menolak kadar kemiskinan negara mungkin meningkat apabila Paras Garis Kemiskinan (PGK) baharu berdasarkan metodologi 2019 diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ini kerana PGK RM980 bagi isi rumah yang ditetapkan mengikut metodologi 2005 sudah tidak relevan.

"Tahun 2005 pendapatan per kapita misalnya cuma RM20,000. Sekarang ini sudah RM45,000. Maknanya pendapatan per kapita kita bertambah dua kali ganda, jadi adalah mustahil PGK berada kekal pada RM980.

"Di bawah metodologi 2019, sudah pasti pertamanya jumlahnya lebih tinggi daripada RM980, kedua ia (kadar kemiskinan) sudah pasti lebih daripda 0.4 peratus," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di sini semalam.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mendakwa kadar kemiskinan Malaysia 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah iaitu RM980.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Jabatan Perangkaan telah menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas bermula Januari hingga November 2019 bagi mendapatkan angka sebenar mengenai kemiskinan dalam negara.

"Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan bagi meneliti angka-angka ini dan hasilnya sudahpun dibentangkan sebanyak dua kali kepada Kabinet," katanya.

Mustapa juga berkata, keputusan untuk melihat semula angka PGK sebenarnya telah dibuat semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang dibentangkan kerajaan terdahulu pada Oktober 2018. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf