Yayasan Terengganu salur RM13.73j biasiswa untuk pelajar cemerlang

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan biasiswa kepada pelajar cemerlang sempena Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan biasiswa kepada pelajar cemerlang sempena Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Yayasan Terengganu menyalurkan sebanyak RM13.73 juta kepada 1,081 pelajar cemerlang di negeri ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, agihan biasiswa itu merupakan suatu pelaburan dalam masa yang sama membantu pelajar cemerlang menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.

Menurutnya, peruntukan di bawah Program Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang itu membabitkan peruntukan RM10 juta bagi peringkat persediaan dan ijazah pertama (Dalam dan Luar Negara), RM2.5 juta bagi Biasiswa Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah manakala RM1.26 juta bagi Biasiswa Persijilan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

“Kita harap pemberian biasiswa ini dapat menaikkan semangat anak-anak Terengganu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata, selain biasiswa, kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman pendidikan bagi pelajar dari Terengganu meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dan program Sijil Kemahiran Malaysia yang keseluruhannya membabitkan kos melebihi RM20 juta setahun.

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam di negeri ini tidak ketinggalan dan turut mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri.

“Kita juga mengagihkan hadiah bagi pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) melibatkan peruntukan sebanyak RM280,400 kepada 580 pelajar,” katanya.

Artikel Berkaitan: