X

Kindly register in order to view this article
!

Perak lulus RM500,000 untuk Felda

Muhyiddin (tengah) ketika merasmikan Lembah Herba Felda sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di MRSM Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai hari ini. Foto: Bernama
A
A

SUNGKAI - Kerajaan Perak meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja kawalan pencegahan serangan ulat pemakan daun (UPD) di Felda Trolak.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sempena sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 di MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak di sini semalam.

Menurutnya, jumlah itu merupakan tambahan daripada peruntukan RM300,000 yang diluluskan sebelum ini bagi masalah sama di kawasan Felda Gugusan Besout.

"Pada 2019 lalu, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi pembasmian ulat pemakan daun di Felda Gugusan Besout dan kali ini mereka minta RM500,000 lagi untuk kerja kawalan pencegahan ini.

"Alhamdulillah, saya dah bincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan nampak gayanya masih ada duit lagi jadi kita akan luluskan permohonan ini sepenuhnya," katanya.

Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 telah disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahmad Faizal berkata, daripada 5,917 peneroka yang ada di seluruh Perak, kerajaan negeri telah menyelesaikan pemberian hakmilikan tanah kepada 5,776 peneroka.

"Baki 141 lagi peneroka yang belum diberikan hak milik tanah akan kita usahakan dalam masa terdekat ini.

"Kita akan cari jalan untuk pastikan masalah ini dapat diselesaikan dalam tahun ini juga," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus