Jajaran semula ECRL tingkatkan implikasi kewangan negara

Amiruddin (tengah) menyaksikan penyerahan pelitup muka kepada wakil penerima kempen ‘Masks4all’ CNI di Pusat Gaya Hidup Sihat CNI Changlun hari ini.
Amiruddin (tengah) menyaksikan penyerahan pelitup muka kepada wakil penerima kempen ‘Masks4all’ CNI di Pusat Gaya Hidup Sihat CNI Changlun hari ini.
A
A
A

CHANGLUN - Penjajaran semula projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kepada pelan asal akan memberi implikasi lebih besar terhadap kewangan negara terutama selepas kemelesetan ekonomi dunia akibat koronavirus (Covid-19).

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) kembali kepada pelan asal, kosnya akan kembali meningkat seterusnya menyebabkan pembayaran balik juga meningkat.

Menurutnya, ia perlu dielakkan dan adalah tidak praktikal untuk tingkatkan kos projek tersebut buat masa ini.

“Apabila Pakatan Harapan (PH) ambil alih kerajaan, kita nilai semula jajaran untuk kurangkan kos.

"Jajaran baharu itu mengurangkan kos kerana dapat elak pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer di Banjaran Titiwangsa merentasi Genting Highlands ke Gombak,” katanya kepada pemberita selepas program kempen ‘Masks4all’ CNI di Pusat Gaya Hidup Sihat CNI Changlun di sini semalam.

Amiruddin berkata, penjimatan kos itu dapat disalurkan kepada projek infrastruktur lain yang diperlukan rakyat.

“Projek tersebut menyebabkan kita terpaksa berhutang dan hutang perlu dibayar balik. ECRL bukan satu-satunya projek pembangunan, banyak lagi projek infrastruktur yang diperlukan rakyat seperti hospital.

"Langkah untuk kembali kepada jajaran asal tidak sesuai kerana boleh menjejaskan pelaksanaan pembangunan di tempat lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan wujud perbincangan mengenai penjajaran semula bagi projek ECRL.

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuatkan mengenai perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada perbincangan penjajaran semula projek ECRL: Mustapa