X

Kindly register in order to view this article
!

Kumpulan Black Out dinasihatkan kembali ke pangkuan Bersatu

Eddin Syazlee Shith
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikenali dengan nama jolokan 'Black Out' diminta kembali ke pangkuan parti itu untuk meneruskan perjuangan.

Ketua Pimpinan Tertinggi Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kumpulan menyokong lima pemimpin yang digugurkan keahlian termasuk pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad itu perlu berfikiran rasional demi survival perjuangan parti.

Beliau berkata, persengketaan lima bekas pemimpin itu dengan Bersatu telah bernoktah kerana mereka tidak lagi bersama pucuk kepimpinan parti serta sudah terbatal keahlian.

“Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Tiada gunanya kita terus bersengketa sehingga merugikan diri sendiri dan juga menjejaskan perpaduan dalam parti.

“Kembalilah ke pangkuan parti dan mari kita bersama-sama memperkukuhkan Bersatu dalam menghadapi cabaran serta persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mei lalu, Dr Mahathir bersama empat pemimpin Bersatu iaitu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah digugurkan keahlian mereka daripada Bersatu.

Keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Susulan itu, mereka bersama pengikut bertindak menukar logo Bersatu kepada warna hitam putih untuk melambangkan 'black out' dan bantahan.

Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya berkata, beliau secara peribadi menganggap tindakan ahli kumpulan 'Black Out' itu satu manifestasi luahan perasaan susulan insiden yang berlaku sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak tidak wajar untuk terus menghukum kumpulan berkenaan kerana mereka memerlukan masa untuk bertenang seterusnya menerima situasi semasa yang berlaku.

“Saya percaya mereka merupakan ahli-ahli Bersatu yang ikhlas dalam perjuangan cuma mereka mungkin terkejut dengan apa yang berlaku sebelum ini.

“Apa pun saya yakin semua ahli kumpulan itu sudah bersedia untuk terima keadaan itu sebagai satu proses biasa mendisplinkan ahli dalam mana-mana pertubuhan yang memiliki peraturan serta perlembagaan parti.

“Tidak timbul persoalan bahawa parti mahu menganiaya mana-mana ahli kerana segala keputusan dibuat berdasarkan perundangan atau perlembagaan Bersatu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!