Covid-19: Enam kes baharu libat rakyat tempatan

Dr Noor Hisham -Foto Bernama
Dr Noor Hisham -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam kes baharu positif Covid-19 yang direkodkan hari ini dikesan dalam kalangan rakyat negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, empat merupakan kes import dan dua kes penularan tempatan.

"Kedua-dua kes penularan tempatan berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor sewaktu saringan di tempat kerja.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 8,674 kes," katanya dalam kenyataan harian jangkitan Covid-19.

Menurutnya, jumlah kes aktif dan sedang dirawat di hospital adalah 72 kes.

"Seramai dua pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Kedua-dua mereka memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan selama 24 hari berturut-turut.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal pada 121 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai kes pulih, beliau berkata, lima pesakit disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenarkan pulang hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 8,481 kes bersamaan 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.