Pulau Pinang catat tiga kes positif JE

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang mencatatkan tiga kes positif Japanese Encephalitis (JE) iaitu dua di daerah Seberang Perai Selatan dan satu kes di Barat Daya bagi tempoh Januari hingga 7 Julai lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, kes yang dicatatkan pada minggu epid 27 itu disahkan positif selepas ujian makmal dijalankan.

Menurutnya, selain kes tersebut, terdapat tiga lagi kes yang disyaki JE telah dilaporkan kepada JKN Pulau Pinang.

"Ada tiga lagi kes yang disyaki JE, namun kita masih perlu menunggu keputusan ujian pengesahan daripada makmal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada tiga kes positif itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Selatan dan PKD Barat Daya telah melakukan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan 'larvasiding' dan semburan kabus di lokaliti berkenaan.

"Ia dilakukan pada 23 dan 24 Jun lalu, iaitu dalam tempoh 24 jam selepas kes dilaporkan.

"Langkah itu adalah usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan membunuh jentik-jentik dan nyamuk Culex dewasa yang membiak di takungan air kotor seperti dalam air kumbahan binatang ternakan, longkang atau parit tersumbat," katanya.

JKN Pulau Pinang berkata, orang ramai dinasihati agar mengambil langkah bagi menghentikan penularan dengan melakukan pemeriksaan di rumah dan kawasan sekitar bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai boleh mendapatkan bahan pembunuh jentik-jentik nyamuk daripada klinik kesihatan kerajaan, menjalankan gotong-royong pembersihan di kawasan rumah sendiri dan sekitar bagi menghapuskan bekas atau tempat berpotensi pembiakan nyamuk dan memberi kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan membuat pemeriksaan dan menjalankan semburan kabus di rumah.

"Selain itu, orang awam juga dinasihati agar mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital sekiranya mengalami demam dan tanda-tanda penyakit JE seperti sakit kepala, sawan atau perubahan neurologi," katanya.