Polis Johor patahkan sindiket judi online guna aplikasi Lu Yi Bao

Ayob Khan menunjukkan statistik kejayaan tangkapan judi online di IPK Johor hari ini.
Ayob Khan menunjukkan statistik kejayaan tangkapan judi online di IPK Johor hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sindiket perjudian secara dalam talian (online) dari China semakin berani bertapak di negara ini bagaimanapun berjaya dipatahkan oleh pasukan polis Johor, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkara itu dibuktikan apabila sindiket perjudian yang menggunakan aplikasi mudah "Lu Yi Bao" di telefon bimbit menerima taruhan mencecah RM 144,000 setiap hari dengan sasaran pelanggan daripada China.

Bagaimana pun, kegiatan perjudian itu berjaya dipatahkan Bahagian Kongsi Gelap Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor yang melakukan serbuan di dua kondominium di Iskandar Puteri pada Sabtu lalu.

Katanya, seramai 18 individu termasuk seorang wanita warga China berusia 20 hingga 40 tahun ditahan bersama barang rampasan iaitu lima buah komputer riba, tiga set komputer, 42 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua modem Wifi.

"Siasatan masih dijalankan sama ada ke semua yang ditahan itu menggunakan pas lawatan sosial atau permit kerja untuk bekerja di negara ini.

"Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4( 1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan dipenjara tidak lebih dari tiga tahun," katanya dalam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad.

Dalam pada itu Ayob Khan memberitahu, polis Johor melakukan 1,027 serbuan dan berjaya menangkap seramai 1,910 individu yang terlibat dalam pelbagai kegiatan perjudian sejak Januari hingga Jun, tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Hasil daripada serbuan dijalankan, polis berjaya merampas 1,105 buah telefon bimbit, 21 buah tab, 61 unit komputer, 28 buah komputer riba dan wang tunai sebanyak RM 604,506," kata beliau.