X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk resah masalah hakisan, tanah runtuh

Mohamad Ecbal (kanan) melihat hakisan dan tanah runtuh yang ditunjukkan penduduk di jalan utama Taman Desa Rhu, Sikamat hari ini.
A
A

SEREMBAN - Masalah hakisan dan tanah runtuh di jalan utama Taman Desa Rhu yang menghubungkan tiga kawasan taman perumahan di Sikamat di sini meresahkan penduduk.

Rosmah Meon, 57, yang tinggal di situ sejak 20 tahun mendakwa, masalah itu bukan kali pertama berlaku dan akan bertambah teruk setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, kejadian yang berlaku sejak tiga tahun lalu itu dipercayai kesan daripada pembangunan di kawasan sekitar.

"Seingat saya, dalam dua tahun lepas berlaku tanah runtuh dan pihak berwajib ada datang meletakkan kanvas tapi malangnya tiada tindakan susulan diambil.

"Pada waktu itu saya sendiri buat aduan pada Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Tapi bila tengok masalah ini tak juga selesai, saya kecewa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun katanya, dia semakin bimbang apabila kesan hakisan berlaku dekat dengan tiang elektrik.

Katanya, pihak bertanggungjawab perlu membesarkan sistem perparitan di kawasan itu sebagai salah satu jalan penyelesaian.

Sementara itu, Penyelaras Pengerusi UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohamad Ecbal Mohd Ismail berkata, pihaknya terpanggil untuk mengetengahkan masalah itu kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Nampak macam biasa, tapi di bawah ini ada saliran air anak sungai dan dekat pula dengan tiang elektrik. Saya harap ada tindakan susulan diambil," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!