'Baby unknown' diberi nama Nadia Amal, Aaliyah Amal

Halimahton (kanan) dan Azmi (kiri) mendukung bayi berkenaan di Taman Sinar Harapan, Jitra hari ini.
Halimahton (kanan) dan Azmi (kiri) mendukung bayi berkenaan di Taman Sinar Harapan, Jitra hari ini.
A
A
A

JITRA - Dua bayi perempuan yang ditemui berbalut kain batik di hadapan rumah di Alor Setar dan Kota Kuala Muda dinamakan Nadia Amal dan Aaliyah Amal.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, Raja Puan Muda Kedah,Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan untuk menamakan kedua bayi perempuan berkenaan.

Menurutnya, baginda berkenan menamakan bayi perempuan ditemui pada 28 Jun di Kampung Sakan dengan nama Nadia Amal dan seorang lagi bayi ditemui di Kampung Sungai Deraka pada 28 Mei dinamakan Aaliyah Amal.

"Dua bayi itu kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan di bawah Perenggan 25 (2)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan) 2016.

"Keadaan Nadia yang ditemui di Kampung Sakan stabil dan tidak mengalami kecederaan manakala Aaliyah yang ditemui di Kampung Sungai Deraka juga berada dalam keadaan baik dengan berat meningkat daripada 2.5 kilogram(kg) kepada 3kg," katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar kes 'Baby Unknown' di Taman Sinar Harapan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Azmi Abd Karim berkata, mana-mana pihak berminat untuk menjadi ibu pelihara kepada bayi terbabit boleh mengemukakan permohonan termasuklah secara dalam talian.

Azmi berkata, mereka yang berkelayakan dan bersesuaian akan dipilih sebagai ibu pelihara kepada bayi itu selepas semakan dan tapisan dilakukan JKM.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang terpilih akan menjadi ibu pelihara selama dua tahun di bawah pengawasan dan naziran selain layak menerima bantuan RM250 untuk menjaga bayi terbabit," katanya.