X

Kindly register in order to view this article
!

18 anggota polis, ATM bakal didakwa

Ayob Khan (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
A
A

JOHOR BAHRU - Kertas siasatan melibatkan 18 penjawat awam yang dipercayai bersubahat dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan susulan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan kesemua suspek berkenaan didakwa.

Ayob Khan turut memberitahu berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan untuk tindakan susulan termasuk pendakwaan.

"Bagaimanapun kita menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad.

Pada 18 Jun lalu, media melaporkan, polis Johor menahan 18 anggota penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI di negeri ini yang dikesan aktif sejak 2017.

Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi dan dua anggota berpangkat rendah di Bukit Aman dan sembilan anggota berpangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi.

Polis Johor dilaporkan turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat yang kesemuanya ditahan di sekitar negeri ini susulan operasi khas antara 15 Jun hingga awal pagi 18 Jun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus