KBS syor bola sepak, sukan berkontak dibenar secara berperingkat

Reezal Merican meninjau tapak pembinaan untuk venue Sukma Johor 2020 di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Reezal Merican meninjau tapak pembinaan untuk venue Sukma Johor 2020 di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada kerajaan agar sukan bola sepak dan aktiviti sukan berkontak lain dibenarkan beraksi secara berperingkat berikutan perkembangan pandemik koronavirus (Covid-19) semakin terkawal.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya akan membawa perkara itu dalam mesyuarat khas dengan menteri-menteri pada 9 Julai ini.

Menurutnya, beliau yakin sukan berkenaan akan dibenarkan secara berperingkat selepas mendapat pandangan dan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini juga termasuk mendapatkan kebenaran penganjuran sukan atau perlawanan-perlawanan yang tidak membabitkan penonton.

"Semua ini sebelum ini tidak dibenarkan, namun melihat kepada perkembangan Covid-19 yang semakin positif dan jika angka-angka dicatatkan (statistik Covid-19) berterusan positif, saya yakin bukan sahaja rakyat tetapi juga kerajaan yakin beri kebenaran untuk bola sepak dan sukan lain beraksi kembali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan venue Sukma Johor 2020 di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan antara sektor sukan yang dibenarkan adalah latihan persediaan pasukan serta aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan dan aktiviti berkumpulan di luar seperti boling tenpin, badminton, memanah, menembak, berbasikal dan konvoi motosikal.

Artikel Berkaitan:

Namun, sukan renang, ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki termasuk pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai adalah tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan sama, Reezal Merican berkata, menerusi pertemuannya dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada hari ini, banyak perkara dibincangkan terutamanya berkenaan kemajuan bola sepak.

Katanya, pandangan-pandangan Tunku Ismail akan dipraktikkan dalam pembangunan bola sepak negara terutama dalam program-program yang sudah dilaksanakan tiga atau empat tahun lalu semasa Khairy Jamaluddin menerajui KBS.