X

Kindly register in order to view this article
!

Agong kurnia watikah pelantikan perwakilan Malaysia ke luar negara

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima watikah pelantikan daripada Duta Besar Iran ke Malaysia, Aliasghar Mohammadi pada Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan oleh bakal Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Malaysia di Istana Negara hari ini. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada lima perwakilan Malaysia ke luar negara, di Istana Negara di sini.

Baginda turut berkenan menerima watikah pelantikan tiga Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lima perwakilan Malaysia ke luar negara terdiri daripada Datuk Bala Chandran Tharman yang akan bertugas di Persekutuan Rusia, Zamshari Shaharan (Qatar), Haznah Md Hashim (Bangladesh), Sazali Mustafa Kamal (Turki) dan Abu Bakar Mamat yang akan ke Chile.

Sementara perwakilan asing ke Malaysia pula ialah Azimbek Beknazarov yang mewakili republik Kyrgyz, Ary Norton De Murat Quintella (Brazil) dan Aliasghar Mohammadi dari Iran.

Perwakilan Malaysia ke Rusia, Bala Chandran yang merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Luar (Wisma Putra) sejak 1994, sebelum ini bertugas di Kedutaan Malaysia di Lubnan pada 2014 sebelum menjawat jawatan Ketua Pengarah Perancangan Dasar dan Penyelarasan (2017-2018).

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Haznah merupakan PTD di Wisma Putra sejak 2000 dan sebelum pelantikan terbaharunya ini, beliau adalah Setiausaha Rendah di Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar.

Duta Malaysia ke Chile, Abu Bakar pula yang juga berkhidmat sebagai PTD di Wisma Putra sejak 2000, sebelum ini pernah berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Windhoek, Namibia (2004-2008) dan Konsul Jeneral di Karachi, Pakistan (2011- 2015).

Duta Malaysia ke Turki, Sazali sebelum ini merupakan Setiausaha Rendah di Bahagian Eropah dan pernah berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Kuwait (2004-2007) serta sebagai Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York (2012-2015).

Zamshari pula, sebelum pelantikannya sebagai Duta Malaysia ke Qatar, merupakan Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Jakarta dan beliau pernah berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Manila, Filipina (2002-2005) dan Paris, Perancis (2011-2014).

Sementara itu, Duta Brazil ke Malaysia Ary Norton, 57, pernah berkhidmat di beberapa misi termasuk di London, United Kingdom dan Washington, Amerika Syarikat.

Duta Iran ke Malaysia Aliasghar, 56, pula sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Sekretariat Majlis Tertinggi Diaspora Iran (MOFA) dari 2016 hingga 2017 dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Konsular.

Duta Republik Kyrgyz ke Malaysia Azimbek, 64, merupakan Ahli Parlimen Kyrgyz sejak 2000 hingga 2007.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf