Pensyarah tidak mengaku salah buat tuntutan palsu

Mohd Shafie (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan keperluan aktiviti pelajar berjumlah RM175,000.
Mohd Shafie (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan keperluan aktiviti pelajar berjumlah RM175,000.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan keperluan aktiviti pelajar berjumlah RM175,000 dalam tempoh enam tahun.

Tertuduh yang juga pensyarah kejuruteraan mekanikal, Mohd Shafie Osman, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas 10 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mohd Shafie didakwa memalsukan beberapa dokumen tuntutan yang tidak wujud butir pembekalan berkenaan bermula November 2014 hingga September 2018 dan kesemua kesalahan itu dilakukan di Politeknik Merlimau Melaka, KB1032 Pejabat Pos Merlimau Melaka.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai ejen kepada kerajaan Malaysia didakwa telah menggunakan beberapa dokumen yang mana butir pembekalan tersebut tidak wujud bernilai RM175,268.14.

Antara tuntutan yang dilakukan termasuk membekal keperluan latihan dan persiapan kejohanan ragbi, mencetak keperluan aktiviti pelajar dan pembekalan program majlis penutup bulan kebangsaan peringkat politeknik Malaysia 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut ditawarkan 10 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya atas kesalahan sama kerana menggunakan dokumen sebut harga palsu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Francine Cherly yang mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 memandangkan ia membabitkan jumlah besar.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang diwakili peguam Rosli Kamaruddin memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya masih merupakan penjawat awam dan perlu menyara tiga anak masih bersekolah serta ibu berusia 73 tahun yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Ogos depan.