X

Kindly register in order to view this article
!

Jiran cubit telinga bayi didenda RM6,000

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas wanita itu mengaku bersalah mencubit telinga anak jirannya yang berusia 10 bulan sehingga mengalami kesan lebam.

Noor Aziana A Samad, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mahkamah turut memerintahkan wanita ini dipenjarakan selama tiga bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Noor Aziana didapati dengan sengaja mencubit kedua-dua belah telinga bayi lelaki sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Melati, Wangsa Maju di sini pada jam 2 petang, 5 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang masih kecil.

Bagaimanapun, Noor Aziana yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda kerana tidak bekerja selain perlu menyara anak yang berusia setahun.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu iaitu ibu mangsa ingin mengambil anak lelakinya dari rumah tertuduh, dia mendapati kesan lebam di kedua-dua belah telinga selain luka pada dahi serta tangan kiri bayinya.

Setelah bertanya kepada tertuduh, dia memberi alasan, anaknya menggigit mangsa.

Bagaimanapun selepas didesak untuk membuat laporan polis, tertuduh mengaku mencubit mangsa kerana geram bayi tersebut menangis.

Ketika kejadian, bekalan air di rumah didapati terputus menyebabkan tertuduh tidak dapat mengawal perasaan marah lalu mencubit kedua-dua telinga mangsa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus