Tular kegiatan pemerasan: Polis nafi tak ambil tindakan

Hantaran yang dimuat naik seorang wanita di Facebook telah dikongsi beberapa kumpulan dan tular sejak kelmarin. Gambar kanan: Wan Azharuddin
Hantaran yang dimuat naik seorang wanita di Facebook telah dikongsi beberapa kumpulan dan tular sejak kelmarin. Gambar kanan: Wan Azharuddin
A
A
A

TAPAH - Polis menafikan hantaran yang tular di Facebook kononnya tiada tindakan diambil terhadap kegiatan tiga lelaki yang melakukan pemerasan di Kampung Bedrock, Bidor di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, polis telahpun menjalankan siasatan selepas menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 58 tahun pada Rabu minggu lalu.

"Siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Jun lalu ketika pengadu bersama pekerjanya ke kebun untuk melihat kawasan bagi projek penternakan.

"Mereka ditahan tiga lelaki yang meminta wang sebanyak RM10,000 setahun sebagai perlindungan jika melalui kawasan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, risikan yang dijalankan berjaya menahan seorang lelaki berusia 60-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

"Suspek direman dua hari sehingga 3 Jun lalu dan diberi jaminan polis setelah siasatan selesai dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan telah pun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya semalam dan dikembalikan untuk tindakan lanjut," katanya.

Hantaran yang dimuat naik seorang wanita pada 29 Jun telah dikongsi beberapa kumpulan Facebook kelmarin menyatakan supaya penyelesaian dapat dibuat daripada diganggu oleh gengster yang meminta wang perlindungan ke atas pemilik tanah di kampung terbabit.

Artikel Berkaitan:

Hantaran tersebut menyatakan tiada tindakan diambil setelah laporan polis dibuat.

Wan Azharuddin berkata, pemilik akaun Facebook akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.

"Pihak polis dengan sekeras-kerasnya menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik akaun Facebook tersebut yang menyatakan tiada tindakan lanjut diambil oleh pihak polis," katanya.