Bot terbalik, tiga PATI dikhuatiri lemas

Pihak penguat kuasa melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga PATI yang terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaiki terbalik di perairan Tanjung Piai, Pontian, Johor hari ini.
Pihak penguat kuasa melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga PATI yang terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaiki terbalik di perairan Tanjung Piai, Pontian, Johor hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Sebuah bot yang membawa lima migran dan seorang tekong terbalik semasa cuba melarikan diri selepas ditahan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Piai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 12 tengah malam tadi, bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) itu hilang kawalan lalu terbalik pada posisi 4.3 batu nautika tenggara Tanjung Piai pada jam 1.45 pagi.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, seorang lelaki dewasa dipercayai tekong bot warga Indonesia telah berjaya diselamatkan dan ditahan manakala pencarian di kawasan bot terbalik tidak menemukan mangsa lain.

"Dalam masa yang sama, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC-JB) juga menerima makluman dari Lembaga Pelabuhan Johor mengenai sebuah Kapal Dagang (MT SMF Ixora) menyelamatkan seorang wanita dewasa dipercayai PATI warga Indonesia yang jatuh laut berhampiran kapal tersebut bersauh iaitu lebih kurang 4.5 batu nautika timur Tanjung Piai.

"Berdasarkan maklumat awal, tiga lagi rakan mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dewasa dipercayai turut sama terjatuh ke laut di sekitar lokasi yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum itu pihak APMM menerusi Ops Benteng mengesan bot PATI berkenaan pada jam 12 malam sekitar Tanjung Adang, Gelang Patah hasil maklumat risikan.

Beliau berkata, ketika ini MRSC-JB mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga PATI yang jatuh laut itu.

Katanya, koordinasi SAR oleh MRSC-JB bagi mencari tiga mangsa yang masih hilang itu melibatkan sebuah kapal dan empat bot daripada APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Artikel Berkaitan:

"Keluasan sektor pencarian meliputi 40 batu nautika persegi di sekitar perairan Tanjung Piai dan Tanjung Bin, Kukup, Pontian," katanya.

Selain itu Aminuddin berkata, maklumat pencarian juga disalurkan kepada komuniti maritim terutamanya kapal-kapal dagang yang berada serta melalui kawasan tersebut.

"Maklumat juga disalurkan kepada agensi penguat kuasa negara-negara jiran seperti Badan SAR Nasional Indonesia (Basarnas) dan Maritime and Port Authority of Singapore (MPA-Singapore)," katanya.