Covid-19: MAIWP jamin tadika patuhi SOP

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee (tengah) beramah mesra bersama kanak-kanak ketika meninjau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Tadika Islam MAIWP Sumayyah di Bandar Tasik Permaisuri hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee (tengah) beramah mesra bersama kanak-kanak ketika meninjau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Tadika Islam MAIWP Sumayyah di Bandar Tasik Permaisuri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi jaminan kesemua 79 tadika Islam kendaliannya di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak penularan koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, ibu bapa tidak perlu risau mengenai keselamatan anak mereka, dan turut memberi jaminan kesemua 389 guru juga akan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kesemua tadika MAIWP kembali beroperasi sejak semalam. Ibu bapa tidak perlu risau untuk hantar anak mereka ke sini (tadika Islam) sebab kita ikut SOP begitu ketat. SOP kita lakukan bermula dari awal murid sampai iaitu ketika nak masuk ke kawasan sekolah, mereka (murid) akan disukat suhu badan, kemudian dilatih sentiasa menggunakan pensanitasi tangan.

"Pemakaian pelitup separuh muka wajib untuk guru serta pelajar dan kita akan sediakan pelindung muka yang ditempah khas untuk setiap murid," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pemantauan SOP di sebuah tadika Islam MAIWP di Cheras, hari ini.

Syed Hussien berkata, bagi memastikan jarak sosial dapat diamalkan setiap masa, bilangan murid di dalam kelas dikurangkan separuh daripada jumlah asal dan murid perlu hadir ke tadika secara bergilir mengikut hari yang ditetapkan.

Ditanya mengenai yuran, Syed Hussien berkata, MAIWP mengekalkan jumlah yuran seperti sebelum ini iaitu RM20 sebulan untuk murid golongan asnaf manakala RM50 sebulan bagi murid daripada keluarga B40.

"Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita tidak mengenakan yuran kepada ibu bapa. Itu sebagai khidmat kita kepada mereka (ibu bapa) dan bermula semalam, selepas tadika kembali beroperasi, yuran adalah sama (seperti sebelum ini)," katanya.

Menurutnya, pengecualian yuran selama tiga bulan bermula April hingga Jun kepada kira-kira 6,000 murid itu melibatkan impak kewangan berjumlah hampir RM1 juta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ibu kepada Auni Darwisha Ahmad Fadzli, 5, iaitu Nor Sakinah Sarju, 28, berkata beliau bersyukur apabila tadika dibenarkan kembali beroperasi meskipun dalam situasi kebiasaan baharu.

"Saya gembira tadika kembali dibuka sebab saya tak nak anak ketinggalan dalam pelajaran. Situasi belajar di rumah dan sekolah berbeza. Lagipun, saya dan suami bekerja, memang ada kekangan untuk kami ajar sendiri anak. Waktu siang tak dapat nak tumpukan perhatian untuk ajar anak, waktu malam masa agak singkat.

"Saya yakin untuk hantar anak kembali bersekolah sebab guru-guru melalui kumpulan WhatsApp pun dah maklumkan dari awal apa SOP perlu dipatuhi. Saya pun sentiasa ingatkan anak untuk pakai pelitup separuh muka dan pensanitasi tangan, jangan sentuh kawan serta beberapa perkara lain," katanya.

Nor Sakinah yang berniaga sendiri turut berterima kasih kepada MAIWP yang mengekalkan yuran tadika dan mengecualikan bayaran yuran ketika tempoh PKP. - Bernama