Dua pemandu lori didenda pindah lembu tanpa kebenaran

Mat Saad (kanan) dan Mohd Fauzi (tengah) didenda oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan lembu tanpa permit yang sah.
Mat Saad (kanan) dan Mohd Fauzi (tengah) didenda oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan lembu tanpa permit yang sah.
A
A
A

TAPAH - Dua pemandu lori masing-masing didenda RM2,500 dan RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini selepas didapati bersalah memindahkan lembu tanpa permit yang sah.

Kedua-dua tertuduh, Mat Saad Hashim, 46, dan Mohd Fauzi Mohamad, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Mat Saad didakwa memindahkan 27 ekor ternakan lembu menggunakan lori tanpa sebarang dokumen kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak atau wakilnya manakala Mohd Fauzi pula didakwa memindahkan 31 ekor lembu menggunakan treler.

Mereka melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran papan tanda KM BDR EX 01 susur keluar Plaza Tol Bidor dalam daerah Batang Padang yang termasuk dalam kawasan pewartaan penyakit kuku dan mulut antara jam 12.20 dan 12.24 malam, 8 Oktober 2019.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melanggar peruntukan di bawah Perintah 3(a) Perintah Kawasan kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Negeri Perak 2008 di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) akta sama.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM15,000.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,500 kepada Mat Saad dan RM2,800 kepada Mohd Fauzi selain tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Wan Mohd Sharonizam Wan Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam L Brigitte.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam rayuannya, Brigitte meminta hukuman ringan dikenakan memandangkan ia kesalahan pertama bagi kedua-dua tertuduh.