Isu Al Jazeera: Rayhan Kabir dikehendaki Imigresen

Md Rayhan Kabir dikehendaki Imigresen untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dipercayai terlibat dalam dokumentari 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' disiarkan Al-Jazeera.
Md Rayhan Kabir dikehendaki Imigresen untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dipercayai terlibat dalam dokumentari 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' disiarkan Al-Jazeera.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lelaki warga Bangladesh dikehendaki Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Imigresen dalam satu kenyataan berkata, individu itu adalah Md Rayhan Kabir berusia 25 tahun dan alamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9 Menara Uncang Emas, No 85 Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit dipohon supaya dapat menghubungi terus Penolong Pengarah Imigresen (PPI), Nurulmasha Nazlinan Hussin, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di talian 03-88801298/ 1294 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat," katanya.

Rayhan adalah individu yang dipercayai terlibat dalam dokumentari 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' disiarkan Al-Jazeera.

Semalam, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah siasatan berkaitan kesalahan fitnah jenayah manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah kesalahan penggunaan aplikasi untuk membuat hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat oleh Al Jazeera mendakwa berlaku diskriminasi membabitkan pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani wabak Covid-19.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya dalam tempoh terdekat untuk disoal siasat berhubung dokumentari yang diterbitkan media antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan: