X

Kindly register in order to view this article
!

Jin Wei gembira dapat kembali berlatih

Goh Jin Wei
A
A

JUARA Remaja Dunia dua kali, Goh Jin Wei, kini menumpukan untuk mengembalikan kecergasannya, sebelum mengambil bahagian dalam kejohanan yang akan diadakan pada masa hadapan.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang bergelut dengan kecederaan untuk beberapa tahun berkata, beliau gembira untuk melaporkan diri bagi memulakan latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

“Saya benar-benar gembira untuk kembali berlatih, selepas terkurung di rumah untuk beberapa bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Walaupun sentiasa berada di rumah, saya masih meneruskan proses pemulihan di bawah jurulatih saya, selain menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki kelemahan saya,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Jin Wei berkata, dia akan bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan ranking dunianya bagi meningkatkan peluang bermain di Kejohanan Dunia, awal tahun hadapan.

Jin Wei yang berkedudukan ke-30 dunia pada kebanyakan masa musim 2019, kini berada pada kedudukan ke-138 dunia, manakala dalam kelayakan ke Olimpik Tokyo, beliau kini berkedudukan 171. Hanya 34 pemain akan layak ke Tokyo.

Sehubungan itu, pemain berasal dari Pulau Pinang itu telah mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya, bagi membolehkannya kembali berlatih untuk memastikan impian Olimpiknya tercapai, selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada ususnya berikutan sakit dalam perut pada Oktober tahun lepas.

Jin Wei, pemenang pingat emas Remaja Olimpik 2018, telah menunjukkan prestasi membanggakan terutamanya pada Masters Malaysia 2019, dengan mengalahkan beberapa pemain utama dunia termasuk pemain nombor tiga dunia dari Jepun Akane Yamaguchi, dan pemain nombor lapan dunia He Bingjiao (China) untuk layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun beliau tewas kepada pemain Thailand Ratchanok Inthanon di separuh akhir.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!