Ramal tempoh moratorium dilanjutkan hingga hujung tahun

Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank Negara Malaysia (BNM).
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka membuat keputusan melanjutkan tempoh moratorium daripada tempoh akhir September ini kepada hujung tahun ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Co-op Bank Pertama (CBP), Mohd Nor Abd Razak berkata, keputusan itu bagaimanapun dijangka diumumkan BNM pada penghujung Ogos depan susulan mendapat maklum balas daripada Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM).

Menurutnya, harapan rakyat negara ini melihat tempoh moratorium dilanjutkan kerajaan dilihat positif susulan BNM turut dijangka akan menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) peratus melalui satu mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, esok.

"Kadar OPR yang dicatatkan ketika ini ialah dua peratus sedangkan negara jiran termasuk Singapura dan Thailand telah menurunkan kadar OPR di bawah 2 peratus ketika ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Nor berkata, beliau secara peribadi bersetuju sekiranya inisiatif melanjutkan tempoh moratorium dilaksanakan kepada peminjam bank bersasar berdasarkan indikator kedudukan ekonomi negara yang berada di dalam fasa pemulihan.

“Paling penting ketika ini ialah sebaranga keputusan yang dibuat perlu seimbang dengan keperluan aliran tunai industri kewangan dalam negara," katanya.

Mohd Nor berkata, walaupun bank di negara ini masih mempunyai keupayaan untuk melaksanakan inisiatif itu susulan langkah BNM untuk mengurangkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebelum ini menyaksikan rizab kecairan mudah tunai dimasukkan kembali ke dalam pasaran kewangan negara dalam lingkungan nilai RM30 bilion, kajian perlu diadakan secara mendalam bagi mengenal pasti impak lanjutan moratorium dalam tempoh jangka panjang.

"Pengurangan SRR sebahagian daripada langkah taktikal bank pusat untuk menyokong momentum pertumbuhan sejajar dengan daya saing pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Ia bertujuan menyediakan mudah tunai tambahan kepada sistem kewangan supaya industri perbankan mempunyai lebih banyak kecairan untuk dimanfaatkan kerana penyimpanan dana seperti SRR tidak memberi sebarang pulangan kepada mereka.

“Berdasarkan perkembangan semasa, CBP juga sedang melaksanakan kajian bagi melanjutkan moratorium ini," katanya.

Mohd Nor berkata, sebarang pelanjutan sudah tentu tertumpu kepada kelompok pelanggan yang disasarkan.

No Image Caption

Menurutnya, inisiatif itu supaya pelanjutan moratorium konsisten dengan saranan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya tidak memberi impak negatif terhadap prestasi CBP.

"Saya yakin, bank serta industri kewangan yang lain juga sedang melaksanakan kajian yang sama," katanya.

Menurutnya, industri perbankan juga dibimbang akan merekodkan kadar hutang lapuk (NPL) tertinggi dalam sejarah sekiranya inisiatif berkenaan tidak dipertimbangkan.

"Justeru, dalam langkah bank menawarkan moratorium kepada pelanggan, situasi itu pada peringkat awal dianggap menang-menang kepada kedua-dua pihak kerana ia bermanfaat kepada pelanggan untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang kepada bank.

"Bagaimanapun, langkah penurunan SRR diambil BNM, bank-bank kini lebih bersedia kerana mempunyai kecairan mencukupi sehingga saat tempoh lanjutan moratorium tamat,"katanya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul memaklumkan hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan dan bukan lagi automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Katanya, kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan bank mengenai lanjutan moratorium dan terpulang kepada mereka sama ada boleh dilanjutkan atau sebaliknya.