X

Kindly register in order to view this article
!

Anak Najib diarah bayar RM37.6 juta

Mohd Nazifuddin Najib - Foto Sumber Internet
A
A

KUALA LUMPUR - Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd Nazifuddin diperintahkan untuk membayar RM37.6 juta cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Mohd Nazifuddin, 37, dalam samannya bagi mendapatkan RM37.6 juta cukai yang belum dibayar.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkata, mahkamah telah meneliti hujahan dan mengambil kira kertas kausa yang difailkan kedua-dua pihak.

“Saya dapati dalam kes ini plaintif (LHDN) berjaya tunjukkan kes yang jelas dan nyata manakala defendan (Mohd Nazifuddin) gagal untuk tunjukkan pembelaan (penyataan pembelaan) yang bermerit,” katanya.

Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi, berkata, berdasarkan kausa dalam kes tuntutan itu, notis taksiran sudah diserahkan melalui wakil defendan dan berikutan itu defendan mengemukakan rayuan terhadap jumlah taksiran di tribunal khas.

Katanya, walaupun terdapat rayuan di tribunal, LHDN mempunyai kuasa untuk meneruskan dengan tindakan sivil di mahkamah.

Hakim itu berkata, mahkamah juga mengambil kira pembelaan defendan dan mendapati bahawa isu mengenai prosedur berhubung taksiran tidak dibangkitkan secara jelas.

"Mengenai prosedur dan teknikal, saya setuju hujahan plaintif terutama mengenai taksiran bahawa defendan ada peluang untuk mencabar taksiran kepada pesuruhjaya tribunal. Mereka juga boleh mengambil tindakan di mahkamah melalui permohonan semakan kehakiman.

"Berdasarkan fakta, mahkamah mendapati ia kes yang jelas dan nyata bagi mahkamah untuk membenarkan penghakiman terus dengan kos," katanya.

Ahmad Zaidi memerintahkan defendan membayar kos RM10,000 kepada plaintif.

Di luar mahkamah, peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Mohd Nazifuddin memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan menfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman dan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai tahun lepas.

Ia mendakwa bahawa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk taksiran tahun dari 2011 hingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Menurut penyataan tuntutan, kegagalan Mohd Nazifuddin membayar cukai selama tujuh tahun yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis taksiran seperti dinyatakan mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menyebabkan beliau dikenakan bayaran tambahan sebanyak 10 peratus.

Plaintif mendakwa defendan masih gagal melunaskan jumlah itu dalam tempoh 60 selaras akta itu dan kenaikan kompaun sebanyak lima peratus turut dikenakan, menjadikan jumlah keseluruhan RM37,644,810.73.

Oleh itu, kerajaan memohon sejumlah RM37,644,810.73 dengan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga jumlah tersebut dilunaskan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus