‘Beri kami sebulan buat persiapan’

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diharap dapat memberikan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) melakukan persiapan sekiranya liga dapat disambung semula lebih awal daripada perancangan asal, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, jangka masa sebulan itu dilihat tempoh yang releven bagi setiap pasukan bersedia sepenuhnya selepas berehat panjang akibat pandemik Covid-19.

“Dalam sesi latihan Fasa 1, kita tidak boleh melakukan latihan melibatkan sentuhan. Jadi dalam tempoh dua hingga tiga minggu latihan Fasa 1 yang sudah berlalu ini, kita tumpukan pada aspek kecergasan sahaja.

“Jadi saya percaya setiap pasukan memerlukan lagi dalam sebulan untuk membuat persediaan seperti latihan penuh dan perlawanan persahabatan sebelum menghadapi perlawanan pertama.

“Ia penting bagi memastikan kesemua pemain bersedia selepas kita tidak bermain dalam perlawanan kompetitif untuk tempoh yang lama,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Pihak kerajaan dijangka mengumumkan keputusan sama ada membenarkan latihan secara kontak penuh diadakan termasuk penyambungan semula kejohanan sukan yang lain pada Khamis ini.

Jika kerajaan membenarkan semula kejohanan sukan dilangsungkan, ia akan menyaksikan saingan Liga-M boleh bersambung semula lebih awal berbanding perancangan asal MFL yang ditetapkan pada September.

Dalam masa sama, Sathianathan yang juga pengendali Selangor optimis kerajaan akan membenarkan semula latihan penuh diadakan dalam waktu terdekat berdasarkan keadaan semasa Covid-19 yang semakin positif.

Artikel Berkaitan: