Semangat The Fighters makin berkobar

No Image Caption
A
A
A

FELDA United semakin bersemangat memulakan kembali saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bersambung lebih awal jika kerajaan meluluskan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk sesi latihan kontak penuh diadakan dalam masa terdekat, lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.

Setiausaha Kehormat Felda United, Afizal Abu Othman berkata, latihan secara kontak penuh itu bakal memberikan peluang kepada skuad The Fighters untuk berlatih dengan lebih komprehensif sebagai persiapan mengharungi perlawanan sebenar kelak.

Malah, Afizal memberitahu, Felda United juga bersedia sekiranya Liga-M dimulakan lebih awal kerana sesi latihan berpasukan akan dapat dijalankan selama lapan minggu sebagaimana perancangan pihaknya sebelum ini.

“Kami di Felda United secara umumnya sangat bersetuju dan menyokong penuh cadangan KBS itu yang dilihat dapat membantu sesi latihan pasukan-pasukan yang beraksi dalam saingan Liga-M.

“Diharapkan juga agar cadangan KBS itu mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak kerajaan. Jika ia berlaku, itu juga boleh menjadi petanda Liga-M akan berlangsung lebih awal,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan, beliau akan membawa cadangan memberi kelonggaran kepada pasukan Liga-M mengadakan latihan secara kontak penuh pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Khamis ini.

Dalam pada itu, Afrizal berkata, skuad The Fighters kini menjalani sesi latihan di padang latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kami memilih untuk berlatih di USIM berikutan padang latihan di situ menggunakan rumput asli dan sesuai untuk menyediakan pasukan mengharungi aksi di stadium yang menggunakan rumput asli.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, sesi latihan pasukan berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Alhamdulillah, setiap pemain dan pegawai mengikut SOP berkenaan,” jelasnya.