Henti jadi wira sokong, bela 'mat motor' buat kesalahan jalan raya

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

KECOH baru-baru ini apabila ratusan konvoi motosikal ditahan oleh pihak berkuasa dan dikenakan tindakan tegas atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Lebih 600 mat motor terperangkap selepas dua lokasi tumpuan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini, diserbu pihak berkuasa melalui Ops Tutup Khas pada 28 Jun lalu.

Operasi bersepadu selama tiga jam bermula 2 petang itu menyasarkan dua lokasi iaitu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dan R&R Chenor.

Sebanyak 600 penunggang motosikal diperiksa dengan 358 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan melalui ops berkenaan, manakala 20 motosikal disita.

Rata-rata yang ditahan itu terdiri daripada golongan muda yang ingin melakukan aktiviti hujung minggu selepas empat bulan terperap di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malangnya, ketegasan pihak polis terhadap kumpulan terbabit mendapat kritikan daripada pihak-pihak tertentu.

Mereka menggunakan hujah bahawa pihak polis tidak sepatutnya mengambil tindakan keras dan menyekat aktiviti golongan muda.

Merak Jalanan sokong aktiviti golongan muda tidak seharusnya disekat tetapi berpada-padalah dalam melakukan aktiviti.

Artikel Berkaitan:

Apa tidaknya, antara kesalahan yang dikesan adalah lesen dan cukai jalan tamat tempoh, pengubahsuaian motosikal yang mengundang bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain dan menunggang motosikal tanpa brek belakang.

Pada masa sama, ada penunggang motosikal dikesan berada di bawah pengaruh dadah dan daun ketum, terdapat juga kesalahan alam sekitar, menunggang secara berbahaya selain berlumba antara satu sama lain.

Bagi Merak Jalanan, pihak yang cuba membela golongan yang melanggar peraturan jalan raya ini seolaholah mahu menjadi 'wira' untuk membela dan menyokong tindakan penunggang motosikal yang melakukan perbuatan jenayah.

Sehubungan itu, tindakan memperkecilkan dan memperlekehkan usaha pihak polis ini memang tidak boleh diterima langsung dan wajar diambil tindakan yang tegas.