Iran bina bandar misil bawah tanah

Bandar bawah tanah tersebut didakwa menempatkan peluru berpandu.
Bandar bawah tanah tersebut didakwa menempatkan peluru berpandu.
A
A
A

TEHERAN - Angkatan Bersenjata Iran telah membangunkan bandar misil bawah tanah di sepanjang pantai selatan negara itu termasuk di Teluk Parsi dan Laut Oman.

Perkara itu didedahkan komander Tentera Laut Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Brigadier Jeneral, Alireza Tangsiri menerusi wawancara bersama Sobh-e Sadeq yang diterbitkan semalam.

“Kami mempunyai bandar bawah tanah yang menempatkan kapal dan peluru berpandu. Seluruh pantai di selatan Teheran turut dilengkapi pelbagai senjata,” ujarnya.

Menurutnya, Tentera Laut IRGC telah menubuhkan pasukan marin Basij yang ditempatkan di sepanjang 2,200 kilometer bersama kira-kira 428 flotila termasuk lebih 23,000 anggota tentera.

“Musuh kami tahu tentang kewujudan bandar bawah tanah milik tentera Iran dan IRGC di sepanjang Teluk Parsi dan pantai Makran, namun mereka tidak mempunyai maklumat yang tepat mengenai hal itu.

“Tetapi, ada satu lagi perkara yang saya mahu sampaikan kepada musuh iaitu kami ada di mana-mana sahaja di Teluk Parsi dan Laut Oman serta di tempat yang anda tidak boleh bayangkan. Kami adalah mimpi ngeri anda,” jelasnya.

Pada April lalu, Ketua Komander IRGC, Mejar Jeneral, Hossein Salami turut memberi amaran Teheran akan menyasarkan kapal milik Amerika Syarikat (AS) jika ia mengancam keselamatan kapal Iran.

Kira-kira sebulan selepas itu, Washington membuat tindakan provokasi apabila ia tetap memasuki kawasan latihan ketenteraan Teheran. - Agensi

Artikel Berkaitan: