Kedudukan kerajaan PN jadi perhatian

Keputusan mengenai kedudukan kerajaan PN akan menjadi perhatian umum pada sidang Dewan Rakyat bermula 13 Julai ini.
Keputusan mengenai kedudukan kerajaan PN akan menjadi perhatian umum pada sidang Dewan Rakyat bermula 13 Julai ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Tanda tanya mengenai kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada akan terus menerajui negara atau tumbang akan menjadi perhatian umum pada sidang Dewan Rakyat bermula 13 Julai ini.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata, Sidang Dewan Rakyat itu pastinya 'panas' berikutan pembangkang sedaya upaya membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tumbang atau tidak kerajaan yang ada pada hari ini akan jadi tanda tanya pada sidang Parlimen kerana pembangkang sekarang berusaha sedaya upaya untuk membawa usul itu. Mereka merasakan bahawa kalau usul itu dibawa, mereka mungkin menang.

"Pada masa sama, bagi pihak Tan Sri Muhyiddin yang menerajui kerajaan PN tentu sudah mengatur kekuatan mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Mesyuarat kedua penggal ketiga persidangan Parlimen ke-14 itu dijadualkan berlangsung selama 25 hari mulai 13 Julai ini sehingga 27 Ogos depan.

Sebelum ini pada mesyuarat pertama penggal ketiga persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu, ia mencetuskan polemik kerana berlangsung hanya sehari.

Berikutan itu, rata-rata ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menempelak persidangan yang pendek itu dengan merujuk ia sebagai 'kebaculan' kerajaan PN dalam berdepan undi tidak percaya disebabkan PN terbentuk dengan hanya kelebihan majoriti dua kerusi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Aziz berkata, perjuangan mempertahankan kuasa politik ketika ini lebih ditunggu rakyat Malaysia berbanding usul memperbaiki ekonomi, pakej untuk rakyat yang terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) atau usul pembangunan ketika keadaan politik negara yang masih belum stabil.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sememangnya ketika ini sudah wujud satu kerangka pendapat bahawa kedudukan kerajaan PN terancam kerana mungkin tidak akan berjaya mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen yang akan bersidang.

"Bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat sama ada mahu menyenaraikan usul itu untuk dibahasakan sekiranya ada ahli Parlimen yang membawa usul terbabit.

"Speaker akan menentukan keutamaan agenda yang nak dibahaskan dalam persidangan nanti. Jadi kalau ada masa untuk ia dibahaskan, mungkin ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk menyaksikan siapa yang menang atau siapa yang kalah.

"Kalau usul tersebut tak dapat senaraikan sebab tak cukup masa dan sebagainya, tak dapatlah rakyat nak tahu kesudahannya dan situasi ini akan berterusanlah," katanya.

No Image Caption

Abdul Aziz secara peribadi bagaimanapun berpendapat bahawa waktu sekarang bukan masanya untuk menukar kerajaan.

Katanya, rakyat Malaysia juga sedang menunggu pengumuman pakej bantuan untuk meredakan tekanan akibat penularan Covid-19 terhadap kos sara hidup mereka.

"Pakej itu dijangka akan diumumkan semasa perbahasan titah ucapan Diraja dan program-program berkaitan.

"Sekiranya semua ahli Parlimen benar-benar berpaksikan kepada perjuangan untuk rakyat, mereka perlu akur dengan kerajaan sekarang dan harus menyokong apa sahaja cadangan atau program yang dibentangkan kerajaan," katanya.

Tambahnya, sama ada ahli Parlimen bersetuju atau tidak, atau mahu menokok tambah apa yang diumumkan, ia boleh dibuat dengan matlamat menyelesaikan masalah terutama melibatkan kos sara hidup rakyat jelata.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut membidas segelintir pemimpin politik yang meletakkan kepentingan peribadi di hadapan sehingga perebutan jawatan Perdana Menteri masih tidak berkesudahan.

"Kebangkitan semula ekonomi negara akan dapat diteruskan jika mempunyai sokongan padu daripada setiap lapisan masyarakat dan bukannya negara terus dibelenggu dengan krisis perebutan jawatan Perdana Menteri.

"Kurangkan berpolitik untuk jadi Perdana Menteri. Ini tidak, asyik nak mimpi jadi Perdana Menteri saja. Letakkan keutamaan untuk membela nasib rakyat," kata beliau.

Ditanya mengenai isu yang perlu dibahaskan segera dalam keadaan sekarang, beliau berpendapat, dalam keadaan penularan wabak Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya, sepatutnya digunakan sebagai era penyucian negara daripada warga asing yang masuk ke negara ini secara tidak sah.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan seperti serbuan perlu dipertingkatkan lagi dalam usaha mengesan kesemua mereka termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dan menghantar semula mereka pulang.

"Mereka sekarang ini merompak sistem ekonomi kita. Di mana penjaja-penjaja ramai orang asing sedangkan orang-orang kita dipinggirkan.

"Selain itu, usul yang perlu dibahaskan juga adalah isu ideologi nasional atau isu kecintaan kepada negara. Ia kerana sejak akhir-akhir ini tercetusnya sedikit huru-hara dari segi pegangan rakyat jelata terhadap Perlembagaan, bendera dan lagu Kebangsaan," katanya.

Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak boleh berlembut lagi dengan mereka yang melakukan pelbagai penghinaan kepada negara.

Menurutnya, undang-undang perlu dipinda agar tindakan lebih tegas termasuk hukuman penjara dikenakan kepada rakyat yang tidak menghormati negara.

"Sebelum ini kita lihat berlakunya kes bendera terbaliklah, bendera hitam merahlah, bintang limalah dan terbaharu Jata Negara diubah suai.

"Kalau ada lagi kes sebegini, pelakunya wajar ditangkap terus dan hukumannya diberatkan lagi termasuk kena masuk penjara," katanya.