X

Kindly register in order to view this article
!

Data anda masa depan kita

Sebanyak kira-kira tiga juta isi rumah di Malaysia dipilih bagi mengisi bancian melalui e-Census.
A
A

SETIAP 10 tahun, jumlah penduduk dan kediaman di Malaysia akan dikira. Proses menghitung itu dikenali sebagai banci. Ia umpama satu sambutan atau perayaan dengan lazimnya kerajaan akan membuat promosi besar-besaran seperti memperkenalkan tema khusus dan lagu banci.

Tahun ini lagu banci akan didendangkan oleh penyanyi terkenal, Tomok. Promosi itu diadakan bagi memastikan penduduk memberikan kerjasama yang terbaik kepada pembanci kerana hasil cerapannya amat penting untuk kerajaan. Jabatan Perangkaan Malaysia bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini.

Dua undang-undang telah digubal untuk melaksanakan proses menghitung penduduk ini iaitu Akta Banci 1960 (disemak 1969) dan Akta Perangkaan 1965 (disemak 1989). Justeru, menjadi satu kesalahan sekiranya tidak memberikan kerjasama atau tidak menjawab soalan yang diajukan oleh pembanci. Dan usah bimbang kerana setiap maklumat yang diberikan adalah sulit dan tidak akan dihebahkan.

Hakikatnya, proses itu bukan perkara baharu. Banci penduduk dan perumahan yang pertama diadakan oleh kerajaan adalah pada tahun 1970. Tahun ini merupakan kali ini keenam banci penduduk dan perumahan diadakan.

Namun, jika dilihat pada sejarah, British telah mula mengira jumlah penduduk di sebahagian Tanah Melayu yakni negeri-negeri Selat, negeri Melayu Bersekutu dan Borneo Utara pada tahun 1891. Pemerintah Inggeris mengadakan banci melibatkan seluruh negeri-negeri Melayu buat kali pertama pada tahun 1911, seterusnya pada 1947 dan yang terakhir sebelum Tanah Melayu merdeka, 1957. Tradisi itu diteruskan dengan lebih sistematik selepas negara mencapai kemerdekaan oleh kerajaan sendiri.

Sejarah ini menunjukkan betapa pentingnya banci penduduk dan perumahan negara kepada negara. Ini kerana hasil maklumat yang diperoleh akan menjadi input utama kepada kerajaan untuk merangka dasar-dasar bagi memastikan kehidupan semua lebih baik dan sempurna.

Sebagai contoh, pada tahun 1970 banci diadakan. Maklumat-maklumat yang diperoleh daripada banci itu membantu kerajaan untuk menggubal atau memacu Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan pengagihan ekonomi untuk semua kaum dilakukan dengan lebih adil.

Dua lagi dasar jangka panjang negara iaitu Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Dasar Wawasan Negara (2001-2010) juga dibuat setahun selepas banci diadakan. Data-data menjadi salah satu sumber utama dalam merangka dasar-dasar ini.

Banci 2020 dilancarkan hari ini – 7 Julai 2020 – oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun, pandemik Covid-19 menyebabkan penyesuaian terpaksa dilakukan bagi memastikan tidak ada yang tercicir dihitung. Proses ini melibatkan dua fasa.

Dalam talian

Fasa Pertama bermula hari ini sehingga 30 September dilaksanakan melalui kaedah e-Census atau secara dalam talian dan secara temu ramah melalui telefon untuk mengumpul data.

Kira-kira tiga juta isi rumah dipilih bagi mengisi bancian melalui e-Census, merangkumi mereka yang tinggal di kawasan ketersambungan tinggi dan mempunyai capaian internet bagi memastikan proses mengisi maklumat berjalan dengan lancar.

Dalam Fasa Kedua, bermula 7 sehingga 24 Oktober 2020, maklumat akan dikumpul melalui cara bersemuka dengan tumpuan di kawasan luar bandar yang mempunyai liputan internet rendah.

Justeru, pemilihan topik dalam soal selidik Banci 2020 adalah selaras dengan pembentukan polisi kerajaan seperti Dasar Pendidikan, Dasar Penuaan (ageing), Dasar Kependudukan, Dasar Perumahan, Dasar Keselamatan, Dasar Kesihatan dan Dasar Kewangan. Sebanyak 108 soalan telah disediakan. Soalan ini mudah untuk dijawab dan lebih 100,000 kakitangan bersedia untuk membantu.

Banci 2020 adalah asas kepada kajian sosioekonomi. Kajian yang lebih meluas dan berfokus boleh dilaksanakan mengikut kumpulan sasar antaranya wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Hasil kajian ini bukan sahaja digunakan oleh agensi kerajaan malah pihak swasta, pelabur dan ahli akademik akan turut menggunakan data-data untuk kajian yang lebih mendalam.

Sebagai contoh, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meramalkan Malaysia menjadi negara ‘tua’ menjelang tahun 2030 disebabkan lebih 15 peratus penduduk negara ini berusia lebih 60 tahun. Dapatan daripada banci ini akan membantu kerajaan untuk mendapatkan angka yang tepat berhubung warga emas bagi merangka dasar yang lebih baik.

Bukan itu sahaja, hasil daripada Banci 2020 juga akan memurnikan pelan jangka panjang yang terkini, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun hadapan. Banci 2020 juga akan turut dijadikan asas kepada kajian sosioekonomi.

Hasil daripada lima banci sebelum ini telah terbukti membantu membentuk Malaysia hari ini. Daripada sebuah negara yang bergantung kepada pertanian berubah kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan. Daripada 49 peratus rakyat hidup di bawah paras kemiskinan pada awal tahun 1970-an berubah kepada pendapatan pertengahan pada era 1990-an dan kini sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

Banci Malaysia 2020 sewajarnya diraikan sebagai satu hari yang unik kerana hanya ditemui sekali dalam tempoh 10 tahun. Inilah masanya untuk menentukan hala tuju masa depan negara. Jika congakan kita salah maka akibatnya akan tiba di kemudian hari.

Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh dilayari melalui portal banci www.mycensus.gov.my. ‘Data Anda Masa Depan Kita.’

Jalankan tanggungjawab kita bersama dengan memberikan data yang sahih dalam Banci 2020.

* Datuk Seri Mustapa Mohamed ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!