'Ayah, mak menangis dapat kereta baru'

Bapa dan ibu mentua Fairuzziela terharu menerima kejutan sebuah kereta dari anak dan menantu.
Bapa dan ibu mentua Fairuzziela terharu menerima kejutan sebuah kereta dari anak dan menantu.
A
A
A

KANGAR - Video pasangan suami isteri yang menghadiahkan kereta kepada orang tua mereka mendapat perhatian warganet dan tular di media sosial.

Pasangan itu Amzar dan Fairuzziela, masing-masing berusia 26 tahun menghadiahkan kereta kepada ibu bapa mereka yang tinggal di Padang Taman Nyu, Perlis.

Bercerita lanjut, Fairuzziela nekad berpakat dengan suaminya membeli kereta selepas mendengar bapa mentuanya, Abdullah, 61, terpaksa menunggang motosikal untuk ke klinik ketika Ramadan.

"Saya tersentap dan sedih sangat sebab umur ayah tidak sesuai untuk menunggang motosikal kerana membahayakan. Ibu dan ayah memang tidak pernah berhajat untuk memberi kereta kerana mereka selesa bersederhana," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, pada hari pemberian itu, mereka sudah merancang membawa mertuanya keluar makan di Kuala Perlis

"Pada awalnya, ibu dan ayah menyangkakan itu kereta baharu kami tapi apabila kami buat kejutan, ayah dan mak menangis terharu.

"Ketika itu ayah pula demam, mungkin jiwanya sensitif dan mudah tersentuh. Lagipun ayah memang sudah lama tiada kereta," ujarnya.

Melalui perkongsian di laman Twitter Fairuzziela, memuat naik video reaksi bapa dan ibu mentuanya yang mengalirkan air mata tanda terharu apabila menerima hadiah sebuah kereta baru.

Artikel Berkaitan:

Perkongsian video tular itu mendapat lebih 11,400 tanda suka dan 151,000 tontonan membuatkan ramai netizen terharu.

Fairuzziela, memberitahu, tidak perlu tunggu kaya untuk membahagiakan ibu bapa kerana kebahagiaan bukan terletak pada harta benda tetapi bersandar atas sebuah ingatan tulus ikhlas.

“Terlalu banyak pengorbanan mereka membesarkan kita. Sebagai anak, jangan sesekali lupa untuk berbakti walaupun sudah memiliki kehidupan sendiri.

"Apabila mana sudah berkahwin dan tinggal berasingan dengan ibu bapa, saya dapat rasakan mereka sangat penting dan setiap hari merindukan mereka walaupun rumah berdekatan," katanya yang percaya rezeki akan lebih diberkati.

Beliau turut mengingatkan supaya meminta doa dan restu ibu sebelum keluar rumah.

"Doa ibu dan ayah tiada hijab. Apabila ibu bapa sudah tiada maka hilanglah satu keberkatan dalam hidup iaitu keberkatan doa," jelasnya.