Johor ambil contoh Masjid Sultan di Singapura

Ayub (kanan) dan Adib Azhari ( kiri) mengadakan lawatan kerja di Jalan Dhoby, Johor Bahru petang tadi.
Ayub (kanan) dan Adib Azhari ( kiri) mengadakan lawatan kerja di Jalan Dhoby, Johor Bahru petang tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masjid Sultan di Singapura menjadi contoh terbaik kepada pembangunan bandar lama di Jalan Dhoby, Jalan Trus dan Jalan Meldrum di tengah bandaraya Johor Bahru.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, pembangunan dengan kemudahan infrastruktur terbaik perlu disertai dengan pengisian program bagi menarik minat orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mendapatkan peruntukan sebanyak RM 10 juta menerusi peruntukan belia, Ibrahim International Business District (IIBD) atau Johor Corporation (JCorp) bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun.

"Banyak yang boleh dipelajari daripada Masjid Sultan di Singapura terutama daripada segi kebersihan, landskap, dan tempat warisan di situ.

"Tetapi apa yang paling penting bukan setakat pembangunan, malah ada pengisian di situ, sekali gus menunjukkan berlakunya transformasi namun masih kekalkan warisan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Jalan Dhoby di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Sementara itu, Ayub berkata, beliau dimaklumkan bahawa terdapat sebanyak 175 bangunan warisan di Jalan Dhoby, Jalan Trus dan Jalan Meldrum yang perlu dipertahankan buat tatapan generasi akan datang.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengikut saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya bangunan lama dikekalkan dan memastikan ia tidak nampak suram.

Artikel Berkaitan: