Wanita hamil gigih cari rezeki di tepi jalan

Nurul Shahzamul berniaga jagung manis setiap hari berhadapan stesen minyak Shell berdekatan NSK Rawang.
Nurul Shahzamul berniaga jagung manis setiap hari berhadapan stesen minyak Shell berdekatan NSK Rawang.
A
A
A

RAWANG - "Nak menangis tengok kakak ipar saya, ibu tunggal kepada 6 orang anak, kini mengandung, berpenat lelah cari duit untuk tampung kos rawatan bersalin, tolong ulang kongsi Twitter agar warga Rawang dapat lihat," demikian luahan Nuruk Munirah Maiden, 21.

Nuruk Munirah yang tinggal di Serendah Rawang berkongsi perasaan itu di Twitter dan memberitahu, kakak iparnya, Nurul Shahzamul Hidayah, 29, sedang hamil anak ketujuh dan usia kandungan mencecah tujuh bulan.

Katanya, berikutan mengalami masalah kewangan, Nurul Shahzamul terpaksa melakukan dua pekerjaan iaitu menjual jagung manis dan nasi lemak berharga RM1 di sekitar Rawang sejak dua bulan lalu bagi menampung perbelanjaan harian.

"Berbekalkan kudrat yang ada, kakak ipar menjual jagung di hadapan stesen minyak Shell berdekatan NSK Rawang dan nasi lemak di hadapan bank Maybank Rawang.

"Saya bangga melihat kesungguhan kakak yang tidak pernah berputus asa mencari rezeki demi anak-anak. Apa yang boleh saya bantu dengan promosikan perniagaan di Twitter," katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Shahzamul menjual nasi lemak RM1 di hadapan Maybank di Rawang. (Kanan:Nuruk Munirah turut membantu kakak iparnya berniaga.)
Nurul Shahzamul menjual nasi lemak RM1 di hadapan Maybank di Rawang. (Kanan:Nuruk Munirah turut membantu kakak iparnya berniaga.)

Menurutnya, selepas perkongsian itu perniagaan kakak iparnya tular di laman sosial dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Alhamdulillah masih ramai orang baik di luar sana. Hari ini lebih 300 bungkus nasi lemak diedarkan secara percuma kerana ramai yang menderma.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap lebih ramai akan terus membeli nasi lemak yang dijual dari jam 7 pagi manakala jualan jagung pula bermula 11 pagi setiap hari," katanya.

Sementara itu, difahamkan ibu tunggal yang mempunyai cahaya mata berusia antara setahun hingga sepuluh tahun berkenaan ialah penerima bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Melalui perkongsian tersebut, rata-rata netizen bersimpati dan tidak kurang juga membantu membeli jagung dan nasi lemaknya.

Netizen yang dikenali @latipah turut mendoakan kesejahteraan ibu tunggal itu dan moga terus dilimpahi rezeki.