‘Tak patah semangat walau dilempar cawan kaca’

Harmizie menerima ucapan dan sijil penghargaan daripada Nor Hisham atas atas komitmen berdepan cabaran ketika menjalankan tugas penguatkuasaan
Harmizie menerima ucapan dan sijil penghargaan daripada Nor Hisham atas atas komitmen berdepan cabaran ketika menjalankan tugas penguatkuasaan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun diugut dan dilempar dengan cawan kaca ketika menjalankan tugas, ia tidak mematahkan semangat Mohamad Harmizie Zaharudin, 23, untuk meneruskan khidmat sebagai Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam kejadian 5.50 petang kelmarin, Mohamad Harmizie hampir mengalami kecederaan apabila seorang pemilik kereta bertindak biadab membaling cawan kaca ketika beliau melaksanakan tugas menyaman kenderaan itu yang diletakkan di tempat tidak sepatutnya.

Mohamad Harmizie berkata, kejadian berlaku terlalu pantas namun dia sempat mengelak cawan berisi air dilempar lelaki berusia lingkungan 30-an itu.

“Kejadian berlaku ketika saya melakukan Op Statik berdekatan sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan. Saman dikeluarkan kerana saya dapati kenderaan milik lelaki tersebut menghalang laluan sedangkan kawasan itu agak sibuk.

“Ketika hendak cetak kertas saman, saya dengar suara seorang lelaki menjerit ‘hoi’ sebelum terus melemparkan sesuatu ke arah saya. Mulanya saya ingatkan ia hanya bungkusan air dalam plastik dan mengelak kerana tidak mahu pakaian seragam basah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Harmizie yang mula berkhidmat di DBKL sejak November tahun lalu berkata, dia terkejut apabila mendapati ‘benda’ yang dibaling dari tingkat atas sebuah restoran itu sebenarnya adalah cawan kaca.

“Selain dibaling kaca, lelaki terbabit turut mengugut saya. Perkara itu diadukan kepada penyelia warden yang bertugas namun insiden bertambah buruk apabila berlaku perang mulut antara penyelia dengan lelaki tersebut sebelum kes lerai apabila anggota polis sampai.

“Saya buat laporan polis kerana bimbang keselamatan sendiri dan juga anggota warden trafik yang lain. Meski diugut dan dibaling kaca ia tak melunturkan semangat untuk terus berkhidmat namun saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Harmizie dan penyelianya, T Prabu menerima ucapan dan sijil penghargaan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan di atas komitmen mereka berdua berdepan cabaran ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.

T Prabu turut menerima ucapan dan sijil penghargaan daripada Nor Hisham.
T Prabu turut menerima ucapan dan sijil penghargaan daripada Nor Hisham.

Dalam pada itu Nor Hisham berkata, tindakan penguatkuasaan lalu lintas perlu dikenakan ke atas pemilik kenderaan yang membuat halangan.

“Tindakan dilaksanakan menerusi rondaan dan pemantauan harian,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ugut penguat kuasa DBKL ada masalah mental

Baling cawan kaca, ugut penguat kuasa DBKL