X

Kindly register in order to view this article
!

Bumbung di 50 sekolah di Perlis alami masalah anai-anai

Roziena (kanan) melakukan tinjauan di SMK Derma dekat sini kelmarin.
A
A

KANGAR - Kira-kira 50 sekolah daripada keseluruhan 104 buah sekolah di seluruh Perlis dikhuatiri mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat dimakan anai-anai.

Difahamkan, kebanyakan bangunan sekolah mengalami kerosakan merupakan bangunan berusia lebih 50 tahun ke atas yang menggunakan kekuda kayu asli sebagai struktur bumbung.

Exco Pendidikan, Rozieana Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada sekolah tertentu berhubung masalah kerosakan di struktur bumbung bangunan sekolah dan kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini meskipun kerosakan struktur bumbung di sekolah terlibat akibat dimakan anai-anai tidak terlalu serius.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) kerap melakukan penilaian untuk memastikan keadaan bangunan masih selamat untuk diduduki khususnya menjelang kemasukan pelajar tahun 1 hingga tingkatan 4 pada 15 Julai depan.

"Dalam masa sama, kita berharap supaya Kementerian Pendidikan Malaysia dapat menyuntik peruntukan yang lebih dan tindakan segera untuk bangunan yang rosak ini," katanya ketika tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma dekat sini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Mohammad Abd Ghani,Pengarah JKR Perlis, Ismail Mohamad dan Pengetua SMK Derma, Fauziah Abdul Hamid.

Beliau berkata, sebarang keputusan berhubung kerja membaiki bangunan itu mungkin harus mendapat pertimbangan Jabatan Warisan Negara yang berkemungkinan berhasrat mengekalkan keaslian bangunan yang menggunakan kekuda kayu di bahagian struktur bumbungnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya berharap peruntukan darurat, bencana dan sebagainya daripada kementerian dalam tempoh yang secepat mungkin demi membolehkan kerosakan dibaiki.

Setakat ini, JKR masih membuat penilaian dan tafsiran kerugian ke atas kerosakan struktur bumbung di bangunan blok C SMK Derma dianggarkan kira-kira 9 meter (m).

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan bangunan blok C yang berusia 71 tahun di SMK Derma, dekat sini, yang runtuh pada tengah hari Sabtu, akibat kerosakan lama yang dimakan anai-anai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!