X

Kindly register in order to view this article
!

Cuepacs mohon KPM pertimbang tarikh cuti sekolah sempena Aidiladha

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidiladha pada 31 Julai ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia bagi membolehkan orang ramai terutama penjawat awam di perantauan dapat menyambutnya di kampung.

Menurutnya, berdasarkan Takwim Persekolahan 2020 sebelum ini, sambutan Hari Raya Aidiladha jatuh pada minggu cuti pertengahan penggal kedua iaitu 25 Julai hingga 2 Ogos (Kumpulan B) dan 24 Julai hingga 1 Ogos (Kumpulan A), namun selepas KPM melakukan rombakan pada takwim persekolahan menjadikan Hari Raya Aidiladha jatuh pada minggu persekolahan biasa.

“Kami (Cuepacs) menerima aduan bahawa ramai penjawat awam serta pekerja di sektor swasta yang bekerja di Sabah dan Sarawak telah menempah tiket penerbangan lebih awal untuk pulang berhari raya.

“Tempahan awal juga membolehkan mereka menikmati tiket penerbangan yang lebih murah apatah lagi kebanyakan rakyat Malaysia sebelum ini tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Cuepacs difahamkan sebelum ini KPM tidak berhasrat untuk meminda takwim persekolahan dengan menggunakan takwim lama.

Begitupun katanya, KPM secara tiba-tiba telah memperkenalkan takwim baharu sekali gus merencatkan perancangan awal mereka terutamanya yang tinggal jauh dari kampung halaman.

“Perubahan takwim persekolahan sudah tentu telah menyebabkan perancangan orang ramai terkesan dan pening bagi merancang semula percutian terutamanya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan.

“Justeru Cuepacs berharap KPM dapat mempertimbangkan untuk memberikan cuti khas persekolahan bagi perayaan Aidiladha dan mencadangkan agar 30 Julai dan 3 Ogos dijadikan cuti khas dan cuti pelepasan untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pemberian cuti khas dan cuti pelepasan itu juga akan memberi sedikit kelegaan kepada penjawat awam dan guru.

“Walaupun guru mempunyai cuti rehat khas namun agak sukar untuk mereka mendapatkan kelulusan daripada Ketua Jabatan kerana sesi persekolahan berlangsung seperti biasa.

“Ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah juga boleh mengambil peluang ini meraikan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus