Musnah ladang ketum jika ingkar arahan, kata MB Kedah

Mukhriz (tengah) dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah 2019 Peringkat Negeri Kedah.
Mukhriz (tengah) dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah 2019 Peringkat Negeri Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan memusnahkan ladang ketum yang ingkar dengan terus menanam pokok itu di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, usaha berkenaan demi mengekang penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Mukhriz berkata, mana-mana pengusaha ladang ketum yang degil dan terus menanam pokok ketum akan menerima padah, termasuklah ladang mereka dimusnahkan.

"Penghapusan landang itu akan dibuat selepas dua kali amaran diberikan, malah tindakan juga boleh diambil apabila pelanggaran syarat tanah berlaku, yang mana mereka ini dibawa ke muka pengadilan dan rampasan tanah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah 2019 Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Exco Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh, Exco Belia dan Sukan, Asmirul Anuar Aris dan Pengarah AADK Kedah, Mahadzhir Elias.

Katanya, tindakan berkenaan akan dicadangkan dalam Mesyuarat Exco melibatkan kanun tanah berkaitan syarat pertanian bahawa penanaman ketum adalah satu kesalahan.

Pihaknya berharap ia boleh dikuatkuasakan segera berikutan masalah berkenaan telah lama berlarutan sehingga memberi kesan buruk, apabila ada pelajar termasuklah dari sekolah rendah dikesan menagih air ketum.

Pada masa ini, kerajaan negeri sudah mengesan kewujudan banyak ladang ketum di Kedah, antaranya lebih 80 hektar di Padang Terap, 22 hektar di Kubang Pasu, sembilan hektar di Yan dan Sik (tiga hektar).

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya senada bahawa penanaman daun ketum tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah menyalahi undang-undang seperti disyorkan dalam Jawatankuasa Kabinet, baru-baru imi.

"Mana-mana pihak yang ingin menanam ketum walaupun untuk tujuan kesihatan, perlulah mendapatkan kebenaran pihak berkaitan seperti Menteri Kesihatan terlebih dahulu, dan ia perlu dilaksanakan secara terkawal," katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya memandang serius isu melibatkan ketum susulan peningkatan rampasan ketum (daun) dan ketum (cecair) pada 2018 berbanding 2017 di Kedah.

"Berdasarkan data tinjauan, sebanyak 87,564 kilogram (kg) daun dirampas pada 2018 berbanding hanya 81,028.57 pada tahun sebelumnya.

"Rampasan ketum berbentuk cecair turut meningkat daripada 89,060.08 liter kepada 233,526 liter dalam tempoh sama sehingga Ogos 2018, yang mana angka itu disifatkan mengejutkan," katanya.

Beliau berkata, daun ketum didapati memberi lebih banyak kesan buruk kepada pengguna terutamanya aspek kesihatan berbanding daripada kelebihan.

"Namun, ramai yang salah faham, daun ketum mampu merawat kesihatan, malah tidak akan memberi kesan buruk dan selamat jika tidak bercampur bahan lain," katanya.

Amalan minum air ketum secara berterusan dikhuatiri mampu mengundang sindrom penarikan kepada pengguna ketum sehingga memberi kesan dari segi fizikal dan psikologi mereka.

Antara kesan fizikal kepada penagih ketum adalah seperti susah tidur, selera makan turun, kekejangan, kesakitan otot, sakit kepala, seram sejuk, dema, sakit perut dan berpeluh.

Katanya, pengguna ketum juga boleh berdepan masalah psikologi, seperti gemuruh, kesedihan, kegelisahan, kemarahan, kemurungan dan stres kesan pengambilan dari bahan itu.