Pekerja kilang hina Agong, Permaisuri Agong di penjara 10 bulan

Shahril keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Penjara Kajang, hari ini.
Shahril keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Penjara Kajang, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak serik melakukan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tahun lalu, seorang pekerja kilang sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan dihukum penjara 10 bulan.

Shahril Mohd Sarif, 37, juga kelihatan tersenyum selepas dijatuhi hukuman itu, sejurus mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Dalam penghakimannya, Edwin berkata, mahkamah mendapati ini merupakan kesalahan kedua Shahril malah bahasa yang digunakan sangat kesat, lucah dan melampaui kebebasan bersuara.

“Walaupun mendakwa mempunyai penyakit mental, namun sehingga ke hari ini, mahkamah tidak menerima sebarang fakta atau bukti bagi menyokong kenyataan itu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Shahril selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa atas dua pertuduhan iaitu membuat dan memulakan dua penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu menerusi aplikasi Instagram menggunakan laman profil S.sharilbinmohd antara jam 10 pagi dan 1 tengah hari, 1 Mac lalu.

Ia dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada 4.06 petang, hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal memohon hukuman setimpal kerana mengambil kira ini bukan kesalahan pertama yang dilakukan.

“Hantaran yang dibuat pada laman rasmi Instagram Istana Negara ketika siaran langsung istiadat angkat sumpah Perdana Menteri kelapan mengundang kemarahan orang awam yang turut menonton siaran langsung tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Shahril yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda dengan alasan beliau tidak sihat termasuk menanggung isteri dan empat anak.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 2 Mac lalu.