Polis tahan tiga lelaki proses, jual air ketum

Nik Ezanee menunjukkan air ketum yang dirampas di IPD Petaling Jaya hari ini
Nik Ezanee menunjukkan air ketum yang dirampas di IPD Petaling Jaya hari ini
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam kejadian berasingan di Taman Medan dan Seksyen 17 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Medan pada jam 3.30 petang.

"Kita menjumpai sebanyak 235 botol disyaki air ketum di dalam sebuah van. Jumlah itu mampu dibekalkan kepada 1,880 orang. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM4,700," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum; antaranya tiga tong yang berisi botol plastik, dua tong gas, dua periuk besar dan alat tapisan.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes menjual air ketum pada tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, satu lagi kes membabitkan dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Seksyen 17 di sini pada jam 10.30 malam.

"Kita merampas sebanyak 45 liter air ketum dan dua kilogram daun ketum yang belum diproses.

"Kita turut merampas 84 botol ubat batuk yang dipercayai digunakan oleh suspek sebagai penambah perisa air ketum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek berkenaan aktif dengan kegiatan terbabit sejak dua hingga empat bulan lalu.

"Air ketum ini dipercayai diedarkan di sekitar Sea park dan Taman Medan. Harga dijual ialah RM20 sebotol," katanya.

Nik Ezanee berkata, kesemua yang ditangkap kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.