Rumah wanita jadi transit barang seludup

Barangan bersubsidi dirampas untuk siasatan lanjut.
Barangan bersubsidi dirampas untuk siasatan lanjut.
A
A
A

TUMPAT - Tindakan seorang wanita menjadikan rumahnya di Kampung Ketil di sini sebagai transit penyimpanan barangan bersubsidi dipercayai untuk penyeludupan mengundang padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan semalam.

Serbuan dilakukan sembilan anggota dan pegawai pada jam 9.30 malam itu turut melibatkan rampasan barangan bernilai RM1,521.80.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, pemeriksaan di rumah itu hasil maklumat awam menjumpai 527 kilogram (kg) minyak masak, 50kg tepung gandum dan 48kg gula pasir di dalam sebuah stor.

“Suspek dikenal pasti seorang wanita tempatan berusia 31 tahun.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku kesemua barangan itu miliknya dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Stor yang menjadi tempat penyimpanan barangan bersubsidi yang dipercayai bertujuan untuk diseludup ke negara jiran.
Stor yang menjadi tempat penyimpanan barangan bersubsidi yang dipercayai bertujuan untuk diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan berlaku khususnya di kawasan sempadan.

“KPDNHEP Kelantan dengan kerjasama agensi sempadan yang lain pula akan sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran dapat dibanteras,” katanya.