Biar Anwar cerakinkan agenda reformasi PH

Gambar pertemuan Anwar dengan Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. - Foto Facebook Anwar (Gambar kecil: Edy Nor)
Gambar pertemuan Anwar dengan Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. - Foto Facebook Anwar (Gambar kecil: Edy Nor)
A
A
A

SEDIKIT imbasan, calon Perdana Menteri (PM) Pakatan Harapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, namun pencalonan itu hadir dengan klausa perjanjian bahawa jawatan PM akan diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah beliau layak (menjadi Ahli Parlimen).

Tidak dapat dinafikan, nama Anwar dijulang untuk Pakatan Harapan mendapatkan undi kemenangan selain faktor kebencian terhadap Datuk Seri Najib, 1MDB dan faktor kenaikan kos sara hidup yang melampau.

Kesengsaraan Anwar merengkok kali kedua di penjara kerana pendakwaan politik menjadi modal untuk meraih undi simpati daripada rakyat, malah logo parti Keadilan juga yang membawa kemenangan pada PRU14 lalu. Itu faktanya.

Tiba-tiba hadir nama Datuk Seri Shafie Apdal untuk diangkat sebagai calon PM. Dicadangkan Dr Mahathir hanya untuk menyindir Anwar dengan persoalan jika Anwar menolak Tun, mengapa tidak boleh menerima Shafie sebagai PM?

Persoalan yang lebih signifikan adalah dari mana datangnya nama Shafie ketika nama Anwar dilihat jauh lebih munasabah dari pelbagai aspek untuk memimpin Malaysia.

Bukan niat untuk membuat perbandingan antara Anwar dan Shafie, masing-masing ada kelebihan dan kelasnya tersendiri, namun secara analogi mudah bagaimana Semporna ingin menjadi juara sebuah perlawanan bola sepak jika perlawanan akhir adalah di antara Port Dickson dan Langkawi?

Sebagaimana sempurna dan afdal sekalipun seseorang itu, namun jika namanya dicadang hanya sekadar untuk melampiaskan keberahian politik Dr Mahathir bagi menghalang agenda yang lebih baik, maka adalah tepat supaya diabaikan terus cadangan itu. Analogi kali ini menghampiri realiti.

Saya tidak mahu menyentuh apa jua skandal yang terpalit di bahu Shafie, sama ada ketika Shafie menjawat Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2009-2015 melibatkan sejumlah RM14.6 billion dari RM38.8 billion untuk memajukan Sabah, atau isu kemasukan jutaan ringgit melibatkan artis tempatan. Biarlah mahkamah adil yang menentukan dakwaan itu.

Artikel Berkaitan:

Apa yang ingin saya sentuh di sini cuma, Anwar tidak pernah terlibat dalam mana-mana skandal kewangan merompak kekayaan negara biarpun memegang jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri selama tujuh tahun.

Kebetulan, Najib dan Tun Mahathir ketika ini saling berperang mendedahkan ke'rasuah'an masing-masing. Ironinya, dalam perang pendedahan ini nama Anwar tidak langsung dibangkitkan sama ada dalam soal rasuah, rompakan atau salah guna kuasa.

Berbalik kepada soal cadangan Shafie sebagai PM, andainya ada anggota PH yang menerima cadangan PH Plus sebagai calon Perdana Menteri, saya fikir ia satu kekhilafan terjadual terhadap semangat setiakawan puluhan tahun.

Biarlah cadangan itu datangnya daripada Dr Mahathir atau Shafie sendiri, janganlah cadangan tersebut disokong oleh mana-mana ahli PH kerana asasnya yang tidak kukuh dan hanya mantik sebuah helah.

Pakatan Harapan perlu bersatu hati kembali kepada landasan mengangkat darjat rakyat dengan prinsip islah mastataktu dan ia dibuktikan sukar berlaku selagi ada Tun di situ. Selaku sebuah gabungan yang paling kuat, rakyat pastinya ingin melihat PH bertegas dengan menamakan Anwar sebagai PM seterusnya.

Pada hemat saya dengan hujah dan analogi yang dibentangkan, adalah suatu kewajaran untuk memberi peluang kepada Anwar menjadi Perdana Menteri dan lihatlah sendiri bagaimana Anwar cerakinkan agenda reformasi yang beliau cetuskan selama ini.

* Edy Noor Reduan ialah Aktivis Blogger dan pimpinan PKR Negeri Sembilan