Tiru tandatangan bos keluar 123 cek berjumlah RM5.5 juta

Chee Peng dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Chee Peng dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas ketua akaun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 123 pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM5.5 juta, sejak lapan tahun lalu.

Teo Chee Peng, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh jatuh hukum dan fakta kes.

Mengikut pertuduhan, Chee Peng yang bekerja sebagai ketua akaun, telah melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan 123 cek kepada Syarikat Revolusi Angkasa berjumlah RM5,502,414.

Tertuduh didapati mengeluarkan cek syarikat dengan meniru tandatangan pemilik syarikat tempat dia bekerja iaitu Pengarah Syarikat, Yap Choon Lai.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Taman Niaga Waris di sini antara 12 Mei 2012 sehingga 17 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hajar Hamzah memohon satu tarikh lain untuk menyediakan fakta kes dan jatuh hukum.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin malah tertuduh disabitkan atas pertuduhan yang banyak.

Tertuduh yang hadir dengan memakai baju T putih dan berseluar jeans diwakili peguam, Tia Poh Yew.