Rafizi tempelak Najib

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa majoriti rakyat Malaysia tidak pernah melupakan segala keterlibatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dengan skandal kewangan yang menyusahkan rakyat.

Katanya, meskipun Najib kini kononnya berbangga kerana beliau mendapat sambutan baik di media sosial, tetapi jika beliau ingat sambutan itu mencerminkan kecintaan rakyat kepada beliau, Najib sebenarnya salah besar.

"Jika beliau menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi, saya nasihatkan beliau pendamkan saja kerana beliau ada bakat menjadi badut media sosial seperti sekarang.

"Lebih baik beliau kekal begitu kerana rakyat tidak lupa dengan keangkuhan, kemewahan dan penyelewengan yang berleluasa semasa beliau menjadi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini, yang dikongsi menerusi Facebooknya.

Dalam perkongsian itu Rafizi turut berkongsi satu surat peguam 1MDB iaitu Wong & Partners untuk mengambil tindakan undang-undang atas kenyataan beliau mempersoalkan pemindahan dana RM7 bilion oleh 1MDB ke akaun di Kepulauan Cayman.

Rafizi berkata, surat itu cukup istimewa kerana ia merupakan surat saman pertama yang beliau dapat mengenai 1MDB.

Surat yang bertarikh 29 April 2013, dihantar oleh 1MDB yang dakwanya untuk menutup mulutnya setelah beliau mengeluarkan kenyataan beberapa minggu menjelang PRU13 dalam tahun 2013.

Sementara itu, dalam perkongsian itu Rafizi bagaimanapun tidak menafikan bahawa apa yang dikongsi oleh Najib di Facebooknya merupakan kehendak dan suara rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Namun, ada perkara yang disuarakan oleh beliau itu kena dengan kehendak rakyat untuk melihat hasil segera pertukaran kerajaan.

Sebab itu, keperluan mendesak sekarang ialah merangka program-program yang boleh membaiki mutu kehidupan rakyat," katanya.

Dalam pada itu Rafizi turut menegaskan bahawa beliau memilih untuk tidak ada kena mengena dengan kerajaan kerana beliau percaya ada ruang untuk rakyat biasa menggembleng tenaga dan akal kita mencari penyelesaian kepada kehendak-kehendak mendesak rakyat ini.

Katanya ada dua kehendak mendesak rakyat yang saya ingin usahakan dari luar kerajaan iaitu pertama membantu seberapa ramai orang muda mencari pekerjaan dan memadankan mereka dengan seberapa ramai majikan kecil dan sederhana yang memerlukan pekerja.

"Kedua, membantu seberapa ramai rakyat Malaysia mengambil tindakan nekad untuk bertindak ke atas sebarang niat dan idea mereka untuk berniaga. Masalah yang ada sekarang ialah sebahagian besar rakyat Malaysia (terutamanya Melayu) berkira-kira untuk berniaga tetapi tidak berani, atau cepat gagal," katanya.

Najib kini cukup popular di media sosial, sehinggakan digelar sebagai 'Raja Troll'.

Nama Najib ketika era pemerintahannya tercemar teruk susulan dakwaan penglibatan beliau dalam skandal 1MDB.